KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080603

Soalan-soalan untuk Dewan Undangan N.Sembilan

Andaikata aku diberi peluang untuk menanyakan soalan-soalan bertulis atau lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Sembilan, berikut ialah soalan-soalan pilihan ku :

1. Berapakah projek perumahan terbengkalai di negeri ini ?
a. Sila senaraikan mengikut setiap daerah.
b. Sila senaraikan berapa lama setiap projek ini telah terbengkalai dan tahap peratus siap setiap projek tersebut.
c. Sila senaraikan pemaju yang terlibat dalam projek perumahan terbengkalai tersebut.
d. Adakah pemaju yang terlibat diberikan lesen projek perumahan baru atau diberi kontrak lain di negeri ini setelah dikenal pasti terlibat dalam projek perumahan terbengkalai ?
e. Berapa ramaikah pembeli yang terlibat dengan projek perumahan terbengkalai di negeri ini ?
f. Sila senaraikan punca projek perumahan terbengkalai ini adakah disebabkan oleh kelemahan pengurusan pihak pemaju, kenaikan harga barang dan lain-lain masalah.
g. Apakah tindakan yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu pihak pembeli serta pihak pemaju untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai ini?


2. Berapa banyakkah hasil kutipan cukai tanah dan cukai pintu untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Sembilan ?
a. Sila senaraikan jumlah serta peratusan cukai tanah dan cukai pintu yang telah dikutip.
b. Sila senarai cukai pintu dan cukai tanah yang tidak dikutip untuk kadar tempoh lebih 2 tahun, lebih 5 tahun, lebih 10 tahun dan sebagainya
c. Sila senaraikan peratusan sektor yang tidak membayar cukai tanah dan cukai pintu seperti sektor swasta, kilang, pemaju perumahan, agensi kerajaan, individu dan sebagainya.
d. Apakah sasaran kutipan tahunan cukai pintu dan cukai tanah untuk setiap PBT di negeri ini mengikut jumlah dalam ringgit dan peratusan kutipan.
e. Apakah tindakan PBT dan kerajaan negeri kepada pihak yang tidak membayar cukai tanah dan cukai pintu serta mempunyai tunggakan yang bertahun-tahun seperti menyita, menyaman, tindakan mahkamah dan sebagainya.
f. Apakah tindakan kerajaan negeri dan PBT keatas pemilik projek perumahan terbengkalai, rumah terbiar, premis kedai terbiar samada milik individu atau sektor swasta juga termasuk milik kerajaan negeri dan PBT sendiri yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar dari segi keselamatan dan kesihatan dimana premis ini boleh menjadi tempat penagihan dadah, pusat operasi jenayah, sarang pembiakan nyamuk aedes serta binatang berbahaya seperti ular disamping mencacatkan pemandangan serta imej Negeri Sembilan untuk menarik para pelancong dalam dan luar negeri ?


3. Berapakah jumlah kutipan zakat oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan pada tahun 1428 Hijrah atau tahun 2007 Masihi ?
a. Bagaimanakah pengagihan zakat ini dilakukan ? Sila senaraikan peratus dan jumlah pengagihan mengikut kategori seperti muallaf, golongan fakir miskin, golongan di jalan Allah, pelaburan dalam sektor hartanah, pelaburan perniagaan, pinjaman , pengurusan Pusat Zakat dan Baitul Mal dan sebagainya.
b. Berapakah sasaran yang ditetapkan oleh pihak Baitul Mal untuk pengagihan zakat di negeri ini untuk setiap kategori yang dinyatakan ?
c. Berapa banyakkah permohonan yang diterima pada tahun 2007 untuk pengagihan untuk setiap kategori yang dinyatakan dan berapa banyak permohonan yang diluluskan dan permohonan yang ditolak serta sebab permohonan tersebut ditolak.
d. Berapa ramaikah pegawai yang ditugaskan untuk pengagihan bantuan Baitul Mal di setiap daerah. Adakah jumlah pegawai pengagihan Baitul Mal berkadar terus dengan jumlah pegawai kutipan zakat di setiap daerah ?

4. Berapa ramaikah jumlah penganggur di negeri ini mengikut kategori siswazah dan bukan siswazah ?
a. Berapa ramai dan berapa peratuskah pekerja asing di negeri ini mengikut kategori samada pekerja professional, jurutera, pengurus, doktor hinggalah ke pekerja kilang, pekerja ladang dan sebagainya ?
b. Adakah kerajaan negeri menetapkan sebarang syarat kepada pelabur luar serta syarikat tempatan peratus pengambilan pekerja asing mengikut jenis pekerjaan , sektor industri dan sebagainya untuk mempastikan peluang pekerjaan pekerja tempatan tidak tersekat ?
c. Adakah kerajaan negeri memberikan sebarang insentif kepada sektor swasta untuk memberi galakan agar pekerja tempatan diutamakan seperti pengurangan kadar cukai dan sebagainya?
d. Berapa ramaikah pekerja yang diberhentikan kerja pada tahun 2007 di negeri ini serta sebab mereka diberhentikan seperti penutupan kilang, pengecilan operasi, pemindahan ke negeri atau negara lain serta lain-lain sebab ?
e. Berapa banyakkah aduan yang diterima daripada pekerja yang diberhentikan ini yang tidak mendapat pampasan atau ganjaran yang sepatutnya ?
f. Adakah kerajaan negeri mempunyai sebarang mekanisma untuk membantu pekerja yang diberhentikan ini seperti perkhidmatan guaman, pinjaman perniagaan, kursus perniagaan dan sebagainya ?

Kepada mana-mana wakil rakyat daripada mana-mana parti di Negeri Sembilan ini adalah dibenarkan untuk bertanyakan soalan-soalan diatas samada secara terus atau dibuat pengubahsuaian.