KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080907

Siapa ada telinga baik, bersyukurlah banyak-banyak

Ayah saya berusia 70 tahun minggu ini telah mendapat alat bantuan pendengaran yang disumbangkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran , Angkatan Tentera Malaysia.

Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran di Kem Terendak yang meguruskan proses permohonan dan Angkatan Tentera Malaysia yang telah membiayai kos alat pendengaran tersebut. Juga ucapan terimakasih kepada pakar telinga di Hospital Seremban yang menguruskan pemeriksaan telinga ayah saya.

Maklumlah ayah saya setelah berpuluh tahun dulu dalam tentera , telingya terdedah dengan pelbagai tembakan senapang, mortar, meriam, RPG dan sebagainya. Malah telah mewakili negara ke Sukan SEA (dulu Sukan SEAP) dalam acara menembak dan berjaya meraih 5 pingat emas untuk Malaysia pada ketika itu. ( dulu atlit Malaysia yang mewakili negara tiada ganjaran wang ringgit, tapi mereka merasa amat bangga mewakili negara apatah lagi meraih kejayaan seperti Allahyarham Mokhtar Dahari yang begitu merendah diri).

Sebelum mendapat alat bantuan pendengaran , ayah saya kurang jelas pendengarannya. Selalunya kena cakap kuat sikit.

Lepas menggunakan alat pendengaran tersebut, ayah saya kata sekarang semua bunyi dapat dengar. Bunyi burung berkicau, bunyi cicak, bunyi kertas jatuh yang sudah lama dia tidak dengar. Ayah saya kata sedap betul dengar bunyi burung berkicau.

Untuk kita yang masih ada telinga yang masih baik ini. Banyak-banyaklah bersyukur. Kerana telinga yang baik adalah satu nikmat yang ALLAH berikan kepada kita daripada berjuta-juta nikmatnya yang tidak terkira.

Bayangkanlah dapat mendengar burung berkicau adalah satu perkara yang begitu menyeronokkan kepada mereka yang tidak dapat mendengar sebelum ini.

Janganlah kita bersedih hati kalau kita gagal dalam percintaan, gagal dalam pelajaran, gagal dalam perkahwinan, gagal dalam politik dan sebagainya, kerana nikmat ALLAH itu terlalu banyak hinggakan kita lupa nikmat yang ada pada diri kita, yang kita nampak ialah orang lain yang berkereta mewah tetapi hakikatnya kita tidak tahu samada mereka mempunyai jiwa yang tenang.

Hanya Dengan Mengingati ALLAH Jiwa Kita Akan Tenang