KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100224

Guru makan biskut kering, kerajaan tak de duit


Guru yang hadir kursus bukannya dapat nasi bungkus, tapi biskut kering.

Cerita sebelum ini Guru baiki kelas guna duit sendiri kerana kerajaan tak ada duit di http://waghih.blogspot.com/2010/02/guru-baiki-kelas-duit-sendiri-kerajaan.html

*********************
Berita Harian 24 Feb 2010
Kementerian Pelajaran tak perlu anjur kursus jika kurang bajet

SAYA setuju Kementerian Pelajaran mengamalkan perbelanjaan berhemah kerana mahu semua kementerian dan badan lain tidak membazir dan tiada ketirisan kewangan negara.

Saya tertarik dengan dua berita yang disiarkan akhbar menyatakan guru makan nasi bungkus ketika kursus serta Ketua Pengarah Pelajaran sendiri mengadakan program kementerian di sebuah sekolah, bukan di hotel.

Saya antara panel mesyuarat dan bengkel yang diadakan di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Damansara baru-baru ini turut mengalami nasib sama.

Saya tidak kisah untuk berulang-alik dari rumah di Klang, Selangor ke BTP untuk menghadiri mesyuarat yang bermula pada jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Malangnya, kami hanya disediakan biskut kering dan air panas untuk dibancuh dengan minuman 3+1 sebagai sarapan.

Namun, ada panel yang tidak sesuai mengambil menu berkenaan kerana menghidap diabetes. Adakah ini langkah penjimatan terbaik diambil Kementerian Pelajaran?

Oleh kerana makan tengah hari tidak disediakan, kami keluar mencari gerai, malah terpaksa ke kawasan yang sukar mendapat tempat letak kereta.

Minum petang pula sama menunya dengan sarapan dan dihidangkan dengan kacang goreng.

Saya mencadangkan kalau Kementerian Pelajaran tidak mempunyai kemudahan dan kewangan jangan anjur mesyuarat, bengkel atau kursus untuk mengelak pegawai perkhidmatan pelajaran atau guru teraniaya dan rasa terhina.

Saya bimbang kegiatan kokurikulum yang mungkin diadakan turut membebankan guru yang ditugaskan membawa pelajar ke lokasi pertandingan.

Saya turut bimbang kenderaan rasmi dan peribadi guru menjadi pengangkutan pelajar menyertai sesuatu pertandingan tanpa dibayar sesen pun.

Saya mohon agar kesatuan guru meneliti kebajikan kami dan jangan cuma untuk meningkatkan profesion keguruan sedangkan guru dilayan bagai pegawai kelas bawahan.

Janganlah tenaga guru diperah, namun kebajikan mereka tidak dijaga.

PEGAWAI KERAJAAN KUMPULAN A,
Klang, Selangor.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20100224005043/Article/index_html

Tiada ulasan: