KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150927

Disamun ketika mengisi minyak

Disamun ketika mengisi minyak
27 September 2015

SEREMBAN - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki bermotosikal ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Paroi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, penjenayah dianggarkan berusia lingkungan 20-an bertindak mengambil beg mangsa yang diletakkan di atas kerusi penumpang bahagian hadapan keretanya sebelum melarikan diri.

Menceritakan kejadian, mangsa yang mahu dikenali sebagai Jannah, 23, berkata, ketika dia sedang mengisi minyak, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki secara tiba-tiba berhenti berhampiran keretanya.

“Masa itu saya tak fikir apa-apa sebab ingatkan dia tunggu giliran isi minyak. Jadi saya tak ambil kisah sangat, lagipun ramai orang.

“Tapi tiba-tiba seorang daripada mereka turun dari motosikal dan berdiri betul-betul dekat pintu kereta saya sebelum membuka pintu dan mengambil beg yang diletak atas tempat duduk penumpang,” katanya.

Menurutnya, dia sempat menarik baju dipakai penjenayah berkenaan dan menjerit meminta tolong, namun kejadian berlaku pantas dan suspek berjaya melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, dia bernasib baik kerana tidak dicederakan dan beg yang dilarikan hanya berisi barangan biasa.

“Telefon bimbit saya mereka tak sempat ambil sebab terletak atas kerusi. Nasib baik kad ATM dan yang lain saya letak dalam beg lain," katanya.

Jannah berkata, walaupun dia sudah mengambil langkah keselamatan dengan mengunci pintu ketika turun dari kereta untuk ke kaunter bayaran, namun dia terlupa menguncinya ketika mengisi minyak.

"Bila tengah isi minyak, saya tak kunci sebab ingatkan tak akan jadi apa-apa,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Paroi, di sini.

Tiada ulasan: