KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160614

Hanya mampu sewa bilik kecil




Sinar Harian 14 Jun 2016, SEREMBAN – Bermalam di surau dan tidur di dalam kereta antara pengalaman tidak akan dilupakan oleh enam beranak ketika mula-mula berhijrah ke bandar ini sebulan lalu.

Keputusan nekad itu terpaksa dibuat oleh Ishkandar Ishak, 36, demi mencari kehidupan yang lebih cerah memandangkan empat anaknya berusia antara 2 hingga 12 tahun semakin membesar dan memerlukan perbelanjaan lebih.

Lebih malang lagi, tiga anaknya menghidap asma, malah Ishkandar sendiri mempunyai ketumbuhan pada pinggulnya sejak empat tahun lalu.

"Niat saya cari rezeki, bukan minta sedekah. Tapi mula-mula itu memang sukar sebab kita tak ada sesiapa dan sebab itu saya terpaksa bawa isteri dan anak-anak tidur di surau.

"Mujurlah pihak surau itu baik hati dan benarkan kami menumpang tidur dan mandi di situ selama dua minggu sebelum saya menyewa bilik di Rasah Jaya selepas mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, dia tidak mahu meraih simpati sesiapa, sebaliknya hanya mahu mencari jalan keluar mengubah kehidupan sedia ada.

Kata Ishkandar, sebelum ini dia sekeluarga tinggal di Jelebu, namun dia membuat keputusan untuk berpindah apabila kemudahan air dan elektrik di rumahnya telah dipotong.

"Rumah kami dulu pun memang usang, asalnya hanya daripada pondok kecil. Tapi saya fikir kalau saya terus tinggal di kampung, kehidupan kami tetap sama dan saya pula tiada pendapatan tetap.

"Adik beradik memang bantu, tapi saya pun tak nak susahkan mereka yang juga ada kehidupan sendiri. Syukurlah sekarang saya sudah dapat kerja dan dapatlah saya sewa bilik kecil buat buat kami sementara waktu," katanya mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaimanapun, dia amat berharap dapat menyewa di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang keadaannya lebih selesa selain sewanya lebih murah.

"Kalau ikutkan memang tak selesa, tapi tak apalah daripada kami terus tidur di surau atau di mana-mana yang rasanya kurang selamat untuk isteri dan anak-anak saya.

"Saya memang cadang nak mohon rumah PPR itu, harapnya adalah sesiapa boleh bantu permudahkan. Lagipun saya perlu jimat duit, sebab doktor baru beritahu yang saya perlu buat pembedahan bagi membuang ketumbuhan yang ada," katanya.


Tiada ulasan: