Peminjam Kecewa Karenah Birokrasi Pembayaran Semula PTPTN
26 Jun 2016
PUTRAJAYA: Terkesan dengan kempen potongan sebanyak 20
peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh oleh Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Safura Foo nekad membayar baki pinjamannya
sebanyak RM18,449.35 pada Mac tahun lepas.
Namun, kegembiraan dan rasa lega itu hanya bertahan sehingga
Mei lalu, apabila beliau disekat untuk ke luar negara di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) oleh Jabatan Imigresen kerana namanya masih tersenarai
dalam senarai hitam jabatan itu.
"Saya amat terkejut apabila disekat semasa hendak
melancong ke Melbourne, Australia dan dimaklumkan ia kerana saya masih
mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN lebih RM3,000.
"Untuk membolehkan nama dikeluarkan dari senarai hitam,
saya diminta membayar RM1,000 dan dalam keadaan mendesak untuk berlepas, saya
menjelaskan bayaran itu secara dalam talian," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, bekas pelajar bidang fotografi dari Segi
College, Subang Jaya berusia 24 tahun itu tetap memendam rasa marah dan kecewa
dengan PTPTN mengapa beliau masih dalam kategori berhutang dan kenapa rekod
pembayarannya tidak dikemas kini sedangkan baki hutang tabung itu telah
dilunaskan lebih setahun.
Kembali dari Melbourne, Safura segera ke Pejabat PTPTN di
UTC Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan dan selepas disemak, dirinya
dikatakan masih mempunyai bayaran tertunggak lebih RM3,000 kerana 'cek tidak
ditunaikan' atau "cheque was not cleared", suatu jawapan yang amat
mendukacitakan buat gadis dari Subang Jaya, Selangor.
"Saya amat kecewa, kenapa selepas menjelaskan semua
bayaran, rekod pembayaran tidak dikemas kini dan lebih setahun tiada sebarang
surat atau notis pemberitahuan yang diterima.
"Walaupun telah membuat aduan, hampir sebulan berlalu,
PTPTN masih belum memberi maklum balas mengenai status aduan," katanya
dalam nada kecewa.
Katanya beliau turut dimaklumkan oleh pegawai imigresen di
KLIA bahawa insiden yang menimpanya bukan kes pertama dan ramai yang telah
terpaksa membuat bayaran RM1,000 bagi mengeluarkan nama dari senarai hitam dan
boleh ke luar negara.
Selain Safura, peminjam PTPTN yang lain turut menghadapi
masalah sama, khususnya mereka yang berhasrat untuk membuat bayaran secara
ansuran melalui potongan gaji.
Seorang peminjam yang mahu dikenali sebagai Kho, 33, lulusan
Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi pengalaman berhadapan kerenah
birokrasi PTPTN apabila permohonannya untuk membuat bayaran melalui potongan
gaji yang dipohon sejak Ogos tahun lepas masih tidak dapat dilaksanakan
sehingga kini.
Katanya walaupun telah berulang kali bertanyakan tentang
status potongan gaji di kaunter PTPTN di Kementerian Pendidikan Tinggi, di
sini, namun yang mendukacitakan tiada maklum balas positif diterima daripada
perbadanan itu.
"Masalah di sini, bukan peminjam tidak mahu bayar, namun
proses dan kerenah birokrasi menghalang pembayaran dibuat dan saya harap
kerajaan dan PTPTN dapat melakukan sesuatu agar tunggakan bayaran mencecah
berbilion ringgit itu dapat dikurangkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan