Sibuk kira duit atas katil
28 Jun 2016
Lima individu warga Thailand dijumpai Penguatkuasa Jabatan
Agama Islam Johor (Jaij) Daerah Batu Pahat di dalam sebuah hotel bajet di sini
kelmarin, sedang mengira duit hasil operasi mengutip derma secara tidak sah
dilakukan mereka.
Sumber Jaij berkata, kenyataan yang menjadi viral semenjak
petang kelmarin itu, menyatakan lima individu itu ditahan oleh penguat kuasa
adalah tidak benar sebaliknya mereka hanya diberikan nasihat.
Katanya, ia berikutan tiada bukti kukuh untuk mendakwa
mereka, kerana ketika ditemui mereka tidak berada di lokasi (bazar), sebaliknya
hanya mengira duit masing-masing yang bertaburan di atas katil, di bilik hotel
tempat mereka tinggal sementara waktu.
"Ketika pemeriksaan dilakukan memang benar mereka
sedang mengira duit, tapi kita tidak punyai bukti kukuh untuk dakwa mereka
selain hanya ada bersama mereka beberapa tabung madrasah yang mempunyai alamat
di utara tanah air.
"Mereka punyai pasport dan dokumen perjalanan sah
berkemungkinan menjadikan bazar Ramadan sebagai medan mencari duit raya.
"Jika mereka ini ditangkap ketika mengutip derma kita
boleh ambil tindakan mengikut undang-undang yang tersedia," katanya.
Sementara itu, Jaij melalui Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal
Agama, Abd Mutalib Abd Rahim berkata, beliau menasihatkan kepada orang ramai
supaya berhati-hati dengan helah sesetengah sindiket yang berselindung di
sebalik nama madrasah untuk mengutip derma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan