KUPON MAKANAN BAGI MEREKA YANG KELAPARAN DI SEREMBAN
24 Januari 2017
PERNAH merasai peritnya tidak cukup wang untuk membeli
makanan ketika zaman belajar dahulu telah mendorong tiga beradik bersama sepupu
menjayakan projek pemberian token makanan percuma.
Projek itu diusahakan oleh Muhammad Abu Mubarak Ali, 28,
Muhammad Faiz, 37, Muhammad Yassin, 45
dan sepupu Qaiser Khan Khaliq Khan, 43, di Restoren KRS, Ampangan di
sini, sejak setahun lalu.
Dengan menggunakan tagline ‘Anda Lapar? Tiada Wang? Sila
Ambil Satu’, sesiapa sahaja tanpa mengenal kaum dan agama, tanpa segan silu
boleh mengambil token tersebut yang berharga RM3.00 daripada tabung disediakan.
Bagi satu kupon setiap orang boleh menikmati dua capati atau
roti canai dan secawan air teh yang disediakan hanya di restoran terbabit.
Menceritakan berkenaan projek itu lebih lanjut, Muhammad Abu
Mubarak Ali, 28, berkata, idea itu tercetus hujung tahun 2015, selepas dia
sering mengikuti aktiviti kesukarelawan termasuklah turun padang memberi
gelandangan makan di sekitar Kuala Lumpur.
Menariknya, sejak
dari itu tabung berkenaan tidak pernah kosong bukan kerana tiada yang mengambil
token disediakan, tetapi disebabkan ramai yang memberi.
“Setakat ini tidak ada yang mengambil kesempatan dan hanya
mereka yang benar-benar memerlukan sahaja menggunakan token ini.
“Kadang-kadang bila saya nampak seseorang yang kelihatan
susah, saya sendiri yang tawarkan token itu. Mereka boleh makan di sini atau
bawa pulang.
- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan