KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20170221

Kerajaan tua di sebalik Gunung Datuk



Kerajaan tua di sebalik Gunung Datuk
21 Februari 2017



GUNUNG Datuk merupakan puncak tertinggi di daerah Rembau, Negeri Sembilan, dengan ketinggian 884 meter, menjadi lokasi riadah bagi mereka yang gemar mendaki gunung.

Gunung Datuk juga menyimpan seribu satu kisah sejarah kerana di atas batu puncak gunung itu dikatakan terdapat kesan tapak kaki Hang Tuah.

Mengikut sejarah, kesan Ekspedisi Pamalayu pada tahun 1275 antara Kerajaan Singasari  di Jawa ke Kerajaan Dharmasraya di Sumatera menyebabkan pembukaan lima kerajaan tua di Negeri Sembilan, termasuk Kerajaan Prabu yang lokasinya kini terletak di Gunung Datuk.

Empat lagi kerajaan dikatakan terbentuk sebelum kedatangan orang Minangkabau ke negeri beradat itu ialah Kerajaan Sang Hyang Ujong yang kini terletak di Tanjung Tuan (Port Dickson), Kerajaan Kepayang di Seremban 2 (Seremban), Kerajaan Air Garam di Mambau (Seremban) dan Kerajaan Fo Lo An di Beranang atau Broga, bersempadanan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

Kisah sejarah itu dikongsikan dua peminat susur galur sejarah di Negeri Sembilan, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 48, dan Osman Mohammad, 54,  dalam temu bual bersama Sinar Harian.

Katanya, pada tahun 1372, puncak Gunung Datuk digunakan Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat dan mengisytiharkan gelaran serta nama penyandang Datuk Lembaga.

Beliau berkata, sebelah tapak kaki Hang Tuah itu dikatakan berada di puncak Gunung Datuk, manakala sebelah lagi terdapat di Tanjung Tuan.

"Tetapi masih ada sejarah yang tersembunyi dan belum terungkai kerana tapak kaki berkenaan juga ada didapati pada batu di salah sebuah sekolah di daerah Rembau," katanya.

- Sinar Harian

'PIBG boleh minta, tetapi...'



'PIBG boleh minta, tetapi...'
21 Februari 2017



SEREMBAN - “Mereka boleh minta, tapi jangan paksa,” demikian reaksi bekas guru, J Arul Kumar tatkala mengulas tindakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah rendah di daerah ini yang mula menjadi tular di internet sejak Sabtu lalu. 

Sekolah terbabit dikatakan mengharap sumbangan satu rim kertas A4 putih 70g/m daripada setiap ibu bapa bagi menampung kos percetakan untuk tujuan pengurusan dan pembelajaran.

Difahamkan, sumbangan tersebut boleh diserahkan ketika mesyuarat agung PIBG ke-38 sekolah berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini. 

“Biarlah sumbangan dibuat secara sukarela. Fokus pada ibu bapa yang benar-benar berkemampuan saja. Maklumlah, harga satu rim kertas A4 pun boleh tahan sekarang.

“Kalau tidak silap saya, paling murah pun sekitar RM10. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan, nilai itu terlalu besar untuk dikorbankan.

“Inilah akibatnya apabila peruntukan untuk sektor pendidikan dikurangkan. Pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang jadi mangsa,” katanya.  

“Memandangkan pembelian dibuat oleh ibu bapa bukan secara pukal atau borong, harganya pasti lebih mahal berbanding pihak sekolah membelinya dalam kuantiti yang banyak.

“Kemudian, kualiti kertas yang disumbangkan pasti berbeza dan tidak seragam. Ini akan menimbulkan masalah lain kelak, misalnya apabila digunakan untuk mencetak soalan peperiksaan,” katanya.

- Sinar Harian

20170220

Anggota bomba cipta prototaip treler dwifungsi



Inovasi ini perlu diiktiraf antara yang terbaik. Berapa ratus ribu atau berapa juta ringgit dapat dijimatkan dengan inovasi ini. Tidak perlu R&D yang canggih manggih, tidak perlu ke luar negara melancong, habis duit buat “survey”,  bayar komisyen dan sebagainya. Tahniah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Anggota bomba cipta prototaip treler dwifungsi
20 Feb 2017




Kuantan: Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab mencipta sebuah prototaip bot pelbagai fungsi dikenali sebagai treler terapung penyelamat yang boleh diguna di atas air dan jalan darat untuk tugas menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, bot itu hasil ciptaan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab diketuai ketua balai berkenaan iaitu Mohd Kamarudin Mohd Saufi.

“Dengan terciptanya bot ini, ia berupaya mengatasi masalah seperti dapat melalui jalan terputus akibat banjir ketika melaksanakan operasi menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, gerak kerja reka cipta prototaip treler terapung penyelamat itu bermula pada Januari tahun lalu dan sudah digunakan untuk aktiviti menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Buloh di Mentakab baru-baru ini.

“Antara kelebihan utama bot ini adalah ia boleh bergerak atas darat sejauh 15 kilometer berbanding hanya satu kilometer bagi bot dua alam biasa.

Katanya, bot itu juga mampu menampung logistik hingga mencecah berat 450 kilogram pada satu-satu masa ketika berada di atas jalan darat.

“Selain itu, ia berkemampuan untuk mengangkut mangsa banjir yang jauh dari rumah mereka ke gigi air dengan hanya menggunakan dua anggota saja.

“Ini sekali gus dapat menjimatkan penggunaan tenaga kerja petugas penyelamat selain kos reka cipta yang berpatutan dengan anggaran kasar bernilai RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya kini merancang untuk mempatenkan reka cipta berkenaan bagi tujuan dikomersialkan dalam usaha memperbanyakkan lagi penghasilan bot sedemikian.

- Harian Metro

Tapak megalit, khazanah N.Sembilan yang tidak ternilai



Tapak megalit, khazanah N.Sembilan yang tidak ternilai
20 Februari 2017


KUALA PILAH - Satu dokumentari mengenai tapak megalit di negeri ini sedang dihasilkan untuk pengetahuan masyarakat dan sebagai rujukan pada masa hadapan.

Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Mohd Nazim Abd Gaman berkata, kerjasama dengan media penyiaran menerusi dokumentari yang dihasilkan mampu mengetengahkan sejarah kewujudan dan tapak-tapak megalit di negeri ini kepada masyarakat luar.

“Tapak-tapak megalit juga berpotensi besar menjadi daya tarikan utama pelancong ke negeri ini di samping tempat-tempat bersejarah dan kawasan peranginan lain.

“Tapak megalit ini memiliki keunikan tersendiri yang perlu diungkai dan perlu diambil tahu oleh masyarakat, khususnya dalam negeri ini," katanya di Kampung Padang Lebar, Terachi.

Mohd Nazim berkata, pelbagai usaha dilaksanakan LMNS untuk menyampaikan informasi kepada penduduk agar monumen berkenaan tidak lupus begitu sahaja.

Menurutnya, dokumentari membabitkan beberapa lokasi seperti di Kampung Padang Lebar, Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh, Terachi, Kampung Kuala Talang dan Kampung Purun di Tanjong Ipoh.

“Melalui inventori yang dijalankan, ia bukan sahaja dapat merekodkan tapak berkenaan malah dapat memulihara serta mengekalkannya agar tidak hilang ditelan zaman dan menjadi khazanah yang tinggi nilainya kepada negeri ini.

“Khazanah ini perlu sama-sama dipelihara, bukan hanya tanggungjawab LMNS tetapi penduduk kampung juga. Jika ternampak mana-mana tapak telah dirosakkan ataupun berlaku vandalisme, segera maklumkan kepada LMNS,” katanya.

- Sinar Harian

20170217

Misteri kubur lama terjawab



Misteri kubur lama terjawab
17 Februari 2017




REMBAU - Misteri kewujudan kubur lama bertingkat tujuh di Kampung Ulu Penajis Sepri, di sini, yang dikatakan makam seorang raja berdasarkan cerita penduduk terdahulu, sebenarnya makam anak raja yang mangkat pada 1829.

Penyelidik bebas adat dan warisan di negeri ini, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 48, berkata, beliau sudah mendapat kebenaran daripada kerabat keluarga diraja dari Pagar Ruyung itu untuk menjelaskan kepada umum bahawa kubur berkenaan adalah kubur Yam Tuan Bujang Bakundi iaitu anak kepada Yang Dipertuan (YDP) Patah Sultan Al-Fath Muningsyah.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Koleksi Daerah Rembau itu berkata, beliau mengetahui kewujudan kubur berkenaan sejak dari dahulu lagi memandangkan beliau pengumpul sejarah di negeri ini dan berpeluang melihat sendiri kubur terbabit pada 2010.

“Kubur ini adalah kubur anak raja yang ditugaskan datang ke sini sekitar 1826 untuk berunding dengan British dan penduduk bagi mendapatkan bantuan berupa senjata serta aset ketenteraan bagi menentang Belanda.

“Datangnya dengan rombongan dari Pagar Ruyung dan turut membawa sekali berpeti-peti emas bagi membeli senjata.  Lokasi kubur berkenaan sebenarnya terletak kira-kira 20 meter dari Istana Ijok yang menjadi tempat persinggahan anak raja dari Pagar Ruyung untuk ke Sri Menanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekan Rembau, di sini, semalam.

Tidak pasti dibunuh atau sakit

Mohd Khairil berkata, pada tahun 1860, anak raja yang mangkat berkenaan iaitu Tuanku Panji Alam, Sultan Ismail datang ke sini bagi mencari kubur ayahandanya dan dapat mengesan kedudukan kubur itu di Kampung Ulu Penajis.

Menurutnya, Sultan Ismail bagaimanapun tidak pulang semula ke Pagar Ruyung, sebaliknya terus menetap di Melaka dan sehingga kini susur galur keturunannya masih berada di Melaka.

“Berdasarkan sejarah, sekitar awal 1820-an, berlaku pertentangan antara kaum adat dan kaum ulama di sana apabila kaum ulama mengutuk sikap segelintir kaum adat yang gemar bermain sabung ayam dan candu sehingga tercetusnya Perang Paderi.

“Kaum adat yang tidak dapat menerima pendapat itu telah bertindak mengadu kepada Belanda dan ketika itulah Belanda melantik YDP Hitam Sultan Alam Bagagarsyah sebagai pemerintah di kawasan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sikap Belanda yang tamak dan kejam sebaik mula campur tangan menyebabkan kaum adat bersatu kembali dengan kaum ulama untuk menentang Belanda.

“Pada masa inilah, Yam Tuan Bujang ini datang ke sini (Ulu Penajis) bagi membantu adiknya, Sultan Alam Bagagarysah bagi membeli peralatan ketenteraan untuk menentang Belanda.  Namun, kita tidak dapat pastikan sama ada sempat atau tidak Yam Tuan Bujang mendapatkan bantuan berupa senjata dan tentera di sini.

“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada Yam Tuan Bujang mangkat pada usia lingkungan 40-an disebabkan dibunuh atau jatuh sakit. Malah, binaan kubur berkenaan juga tidak dapat dipastikan didirikan oleh siapa," katanya.

Istana Ijok persinggahan anak raja

Sementara itu, Khairil berkata, Istana Ijok pula sememangnya wujud sejak 1728 sebagai istana hinggap buat anak raja berehat memandangkan laluan berkenaan adalah laluan darat anak raja ke Sri Menanti selepas melalui laluan sungai dari Pagar Ruyung.

Menurutnya, istana berkenaan sering digunakan anak raja sehinggalah lokasi itu tidak dikunjungi lagi selepas Perang Bukit Putus sekitar 1875.

“Inilah sejarah kewujudan kubur lama bertingkat tujuh di lokasi ini dan cerita mengenai istana lama yang merupakan persinggahan anak raja.  Dari lokasi berkenaan untuk ke Sri Menanti hanya memakan masa sekitar 45 minit ke sejam.

“Kita harap kewujudan kubur ini tidak lagi menjadi pertikaian pelbagai pihak sehingga ada yang mendakwa milik raja sedangkan kubur ini adalah kubur anak raja yang diamanahkan untuk membeli senjata dan membawa pulang tentera ke Pagar Ruyung bagi menentang Belanda," katanya.

Sinar Harian 31 Januari lalu melaporkan kisah kewujudan kubur berkenaan di dalam kawasan kebun getah milik penduduk yang berukir nama antaranya Tuanku Raja Ibni Nur Muhamad.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Sepri, Datuk Zulkernain Datuk Mohammad Sharif, berdasarkan cerita orang lama, kubur itu dipercayai wujud sejak sebelum kedatangan Raja Melewar dari Pagar Ruyung ke Negeri Sembilan lebih 200 tahun dahulu.