Tapak megalit, khazanah N.Sembilan yang tidak ternilai
20 Februari 2017
KUALA PILAH - Satu dokumentari mengenai tapak megalit di
negeri ini sedang dihasilkan untuk pengetahuan masyarakat dan sebagai rujukan
pada masa hadapan.
Penolong Kurator Unit Monumen dan Tapak Tanah Bersejarah
Bahagian Antikuiti Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Mohd Nazim Abd Gaman
berkata, kerjasama dengan media penyiaran menerusi dokumentari yang dihasilkan
mampu mengetengahkan sejarah kewujudan dan tapak-tapak megalit di negeri ini
kepada masyarakat luar.
“Tapak-tapak megalit juga berpotensi besar menjadi daya
tarikan utama pelancong ke negeri ini di samping tempat-tempat bersejarah dan
kawasan peranginan lain.
“Tapak megalit ini memiliki keunikan tersendiri yang perlu
diungkai dan perlu diambil tahu oleh masyarakat, khususnya dalam negeri
ini," katanya di Kampung Padang Lebar, Terachi.
Mohd Nazim berkata, pelbagai usaha dilaksanakan LMNS untuk
menyampaikan informasi kepada penduduk agar monumen berkenaan tidak lupus
begitu sahaja.
Menurutnya, dokumentari membabitkan beberapa lokasi seperti
di Kampung Padang Lebar, Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh, Terachi, Kampung
Kuala Talang dan Kampung Purun di Tanjong Ipoh.
“Melalui inventori yang dijalankan, ia bukan sahaja dapat
merekodkan tapak berkenaan malah dapat memulihara serta mengekalkannya agar
tidak hilang ditelan zaman dan menjadi khazanah yang tinggi nilainya kepada
negeri ini.
“Khazanah ini perlu sama-sama dipelihara, bukan hanya
tanggungjawab LMNS tetapi penduduk kampung juga. Jika ternampak mana-mana tapak
telah dirosakkan ataupun berlaku vandalisme, segera maklumkan kepada LMNS,”
katanya.
- Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan