KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20170217

Misteri kubur lama terjawab



Misteri kubur lama terjawab
17 Februari 2017




REMBAU - Misteri kewujudan kubur lama bertingkat tujuh di Kampung Ulu Penajis Sepri, di sini, yang dikatakan makam seorang raja berdasarkan cerita penduduk terdahulu, sebenarnya makam anak raja yang mangkat pada 1829.

Penyelidik bebas adat dan warisan di negeri ini, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 48, berkata, beliau sudah mendapat kebenaran daripada kerabat keluarga diraja dari Pagar Ruyung itu untuk menjelaskan kepada umum bahawa kubur berkenaan adalah kubur Yam Tuan Bujang Bakundi iaitu anak kepada Yang Dipertuan (YDP) Patah Sultan Al-Fath Muningsyah.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Koleksi Daerah Rembau itu berkata, beliau mengetahui kewujudan kubur berkenaan sejak dari dahulu lagi memandangkan beliau pengumpul sejarah di negeri ini dan berpeluang melihat sendiri kubur terbabit pada 2010.

“Kubur ini adalah kubur anak raja yang ditugaskan datang ke sini sekitar 1826 untuk berunding dengan British dan penduduk bagi mendapatkan bantuan berupa senjata serta aset ketenteraan bagi menentang Belanda.

“Datangnya dengan rombongan dari Pagar Ruyung dan turut membawa sekali berpeti-peti emas bagi membeli senjata.  Lokasi kubur berkenaan sebenarnya terletak kira-kira 20 meter dari Istana Ijok yang menjadi tempat persinggahan anak raja dari Pagar Ruyung untuk ke Sri Menanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekan Rembau, di sini, semalam.

Tidak pasti dibunuh atau sakit

Mohd Khairil berkata, pada tahun 1860, anak raja yang mangkat berkenaan iaitu Tuanku Panji Alam, Sultan Ismail datang ke sini bagi mencari kubur ayahandanya dan dapat mengesan kedudukan kubur itu di Kampung Ulu Penajis.

Menurutnya, Sultan Ismail bagaimanapun tidak pulang semula ke Pagar Ruyung, sebaliknya terus menetap di Melaka dan sehingga kini susur galur keturunannya masih berada di Melaka.

“Berdasarkan sejarah, sekitar awal 1820-an, berlaku pertentangan antara kaum adat dan kaum ulama di sana apabila kaum ulama mengutuk sikap segelintir kaum adat yang gemar bermain sabung ayam dan candu sehingga tercetusnya Perang Paderi.

“Kaum adat yang tidak dapat menerima pendapat itu telah bertindak mengadu kepada Belanda dan ketika itulah Belanda melantik YDP Hitam Sultan Alam Bagagarsyah sebagai pemerintah di kawasan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sikap Belanda yang tamak dan kejam sebaik mula campur tangan menyebabkan kaum adat bersatu kembali dengan kaum ulama untuk menentang Belanda.

“Pada masa inilah, Yam Tuan Bujang ini datang ke sini (Ulu Penajis) bagi membantu adiknya, Sultan Alam Bagagarysah bagi membeli peralatan ketenteraan untuk menentang Belanda.  Namun, kita tidak dapat pastikan sama ada sempat atau tidak Yam Tuan Bujang mendapatkan bantuan berupa senjata dan tentera di sini.

“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada Yam Tuan Bujang mangkat pada usia lingkungan 40-an disebabkan dibunuh atau jatuh sakit. Malah, binaan kubur berkenaan juga tidak dapat dipastikan didirikan oleh siapa," katanya.

Istana Ijok persinggahan anak raja

Sementara itu, Khairil berkata, Istana Ijok pula sememangnya wujud sejak 1728 sebagai istana hinggap buat anak raja berehat memandangkan laluan berkenaan adalah laluan darat anak raja ke Sri Menanti selepas melalui laluan sungai dari Pagar Ruyung.

Menurutnya, istana berkenaan sering digunakan anak raja sehinggalah lokasi itu tidak dikunjungi lagi selepas Perang Bukit Putus sekitar 1875.

“Inilah sejarah kewujudan kubur lama bertingkat tujuh di lokasi ini dan cerita mengenai istana lama yang merupakan persinggahan anak raja.  Dari lokasi berkenaan untuk ke Sri Menanti hanya memakan masa sekitar 45 minit ke sejam.

“Kita harap kewujudan kubur ini tidak lagi menjadi pertikaian pelbagai pihak sehingga ada yang mendakwa milik raja sedangkan kubur ini adalah kubur anak raja yang diamanahkan untuk membeli senjata dan membawa pulang tentera ke Pagar Ruyung bagi menentang Belanda," katanya.

Sinar Harian 31 Januari lalu melaporkan kisah kewujudan kubur berkenaan di dalam kawasan kebun getah milik penduduk yang berukir nama antaranya Tuanku Raja Ibni Nur Muhamad.

Menurut Pengerusi JKKK Kampung Sepri, Datuk Zulkernain Datuk Mohammad Sharif, berdasarkan cerita orang lama, kubur itu dipercayai wujud sejak sebelum kedatangan Raja Melewar dari Pagar Ruyung ke Negeri Sembilan lebih 200 tahun dahulu.

Tiada ulasan: