KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060215

Pekilang arak Malaysia harus hormat Islam sebagai agama rasmi

Setelah dunia Islam dikejutkan dengan karikatur yang menghina junjungan kita Nabi Muhammad saw yang pada mulanya disiarkan oleh akhbar dari Denmark, barulah umat Islam tercari-cari apakah tindakan yang harus diambil memandangkan akhbar berkenaan enggan meminta maaf kerana telah melukakan hati ribuan juta umat Islam di seluruh dunia.

Antaranya ialah dengan mengadakan demonstrasi, menghantar surat bantahan serta memboikot produk yang berasal dari Denmark. Tapi bagaimana umat Islam hendak memboikot sesuatu barangan yang pada hukumnya memang haram dan dikilangkan pula di negara Islam ?

Yang paling ketara ialah jenama arak Carlsberg yang berasal dari Denmark , dikilangkan di Shah Alam, Selangor serta menguasai lebih 50% pasaran arak tempatan serta diekspot pula ke negara-negara Asia lain.

Inilah masanya kerajaan Malaysia yang berpegang kepada prinsip Islam Hadhari serta menjadi Pengerusi kepada Persidangan Negara-Negara Islam OIC agar mengambil pendekatan yang realistik terhadap pekilang-pekilang arak, lebih-lebih lagi pekilang arak dari negara Denmark yang hingga ke saat ini tidak mengeluarkan kenyataan rasmi memohon maaf kepada semua umat Islam di dunia.

Sekiranya negara barat boleh mengenakan pelbagai sekatan ekonomi serta meletakkan pelbagai syarat perdagangan untuk melindungi syarikat tempatan mereka, mengapa kita tidak dapat berbuat demikian agar pelabur-pelabur yang melabur di Malaysia terlebih dahulu menjaga sensitiviti agama Islam sebagai agama rasmi ?

Pekilang-pekilang arak yang ingin beroperasi di Malaysia haruslah dikenakan beberapa syarat antaranya ialah mereka hanya dibenarkan mengambil pekerja bukan Islam untuk bekerja di kilang atau syarikat mereka. Sekiranya pada ketika ini kita boleh mengenakan syarat seperti hanya warga Indonesia dan Filipina sahaja boleh diambil sebagai pembantu rumah, pekerja Vietnam sebagai pekerja kilang dan seterusnya, mengapa tidak diletakkan pula syarat kilang arak hanya dibenarkan mengambil pekerja bukan Islam , baik pekerja tempatan ataupun pekerja asing.

Malah bukan setakat pekerja sahaja pekilang arak mesti mengambil orang bukan Islam , malah jawatan lain termasuk pengarah syarikat , pembekal, pengedar dan peruncit juga haruslah diambil dari kalangan orang bukan Islam.

Begitu juga dengan tempat operasi kilang arak berkenaan, hendaklah ianya tidak beroperasi di kawasan penduduk yang majoritinya beragama Islam. Sekiranya hasil daripada pembangunan semasa serta kepadatan penduduk yang bertambah, maka lesen pekilang arak tidak sepatutnya diperbaharui, serta pekilang arak berkenaan harus diberi tempoh agar mereka dapat berpindah ke kawasan yang majoriti penduduknya adalah bukan Islam.

Islam begitu bertoleransi dengan penganut agama lain. Islam tidak menghalang pengikut agama lain makan apa yang mereka suka, serta minum apa yang mereka suka, asalkan pengikut agama lain menjaga sensitiviti umat Islam setempat.

Sebagai sebuah negara Islam juga , Malaysia boleh meletakkan syarat bahawa pekilang arak yang beroperasi di Malaysia ini hendaklah memastikan bahawa pengeluaran arak mereka hanyalah untuk pasaran tempatan sahaja, bukannya untuk pasaran ekspot. Adalah agak pelik Malaysia sebuah negara Islam menjadi pengeluar arak utama bagi rantau Asia Tenggara atau pun rantau Asia. Apatah lagi pekilang arak tersebut berasal dari negara Denmark, negara dimana akhbar mereka memulakan penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw.