KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060201

Rugi Tak Pergi Sambutan Maal Hijrah N.Sembilan

Rugi ! Rugi ! Rugi ! Itulah yang ada pada fikiran saya, kalau saya tidak pergi ke acara sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Dataran Senawang pada 1 Muharram 1427 bersamaan dengan 31 Januari 2006.

Terlebih dahulu sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada pihak penganjur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan yang telah memulakan tahun baru hijrah pada kali ini dengan satu acara yang telah dapat menaikkan syiar Islam dikalangan masyarakat Islam di Negeri Sembilan.

Sambutan yang diberikan oleh orang ramai yang hadir ke majlis tersebut adalah diluar dugaan, malah ribuan lautan manusia yang hadir boleh menandingi sebarang konsert yang diadakan di Dataran Senawang sebelum ini.

Apa yang menarik ialah ahli panel yang memberikan Forum Maal Hijrah yang bertajuk “Keunggulan Ilmu Teras Kemajuan Ummah” ialah penerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah 1427 peringkat Kebangsaan Dr Mohd Yusof bin Othman serta pakar motivasi Dato Dr Fadilah Kamsah. Peluang ini tidak dilepaskan apabila saya sempat bergambar serta mengucapkan tahniah kepada Dr Mohd Yusof Othman diatas anugerah yang diterima beliau.

Malah anak-anak turut sama terhibur dengan selingan nasyid oleh kumpulan Rabbani dan kumpulan Hijjaz. Sementara ayah bergambar dengan ilmuwan Islam si anak-anak pula sempat bergambar dengan kumpulan nasyid kegemaran mereka.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada acara Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan ini, ialah masyarakat sekarang ini dahagakan ilmu serta hiburan yang berteraskan Islam, oleh itu semua pihak daripada individu Islam, jawatankuasa masjid dan surau, Jabatan Agama Islam serta persatuan-persatuan Islam haruslah senantiasa berganding bahu menganjurkan aktiviti turun padang untuk mendekatkan masyarakat dengan ajaran Islam.

Rozmal bin Malakan
Setiausaha Surau Taman Alamanda, Senawang, NS