KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060215

Tun Dr Mahathir sokong boikot barangan Denmark

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bantahan umat Islam terhadap penerbitan karikatur Nabi Muhammad S.A.W. patut memberi mesej bahawa tindakan tidak sensitif terhadap Islam tidak seharusnya berulang.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata bantahan itu tidak wajar berpanjangan.

"Umat Islam mesti buat protes, dan jika perlu, buat mereka rasa keperitan dengan memboikot. Ia bertujuan memberi isyarat supaya mereka tidak mengulanginya," katanya semasa ditemui selepas menerima kunjungan bekas Presiden Iran Mohammad Khatami di sini hari Isnin.

Dr Mahathir diminta mengulas bantahan umat Islam membabitkan penerbitan karikatur yang memperkecil-kecilkan Nabi Muhammad dalam sebuah akhbar Denmark dan penyiaran semula bahan itu oleh akhbar-akhbar di Eropah dan beberapa negara lain yang mencetuskan tindakan marah daripada umat Islam di seluruh dunia.

"Ia tidak sensitif (menyiar semula kariraktur), dan saya berpendapat umat Islam bertindak tepat untuk membantah," katanya.

Dr Mahathir menyatakan bahawa ada penduduk di Eropah telah hilang kepercayaan terhadap agama mereka.

Dan kerana mereka menganggap agama sebagai tidak relevan, beliau berkata adalah salah untuk mereka menganggap umat Islam mempunyai perasaan yang serupa apabila agama mereka diperlekehkan.

"Kebanyakan penduduk Eropah pada asasnya tidak mempunyai agama, dan mereka tidak nampak mengapa kita ambil kisah mengenai perkara itu," kata Dr Mahathir menjelaskan mengapa akhbar menyiarkan semua karikatur yang menghina itu.

Seperti kebanyakan negara Islam lain, Malaysia mengutuk penerbitan karikatur itu, yang dilaporkan menggambarkan Nabi Muhammad memakai serban berbentuk seperti bom.

Mengenai pertemuan itu, Dr Mahathir berkata Khatami mahu beliau menganggotai satu kumpulan yang akan bekerja ke arah mewujudkan dialog antara budaya.

Memandangkan beliau sudahpun menjadi anggota kumpulan seumpama itu, Dr Mahathir berkata beliau akan mengkaji jemputan berkenaan sebelum membuat sebarang komitmen.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=180148