KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060207

Sertai Perarakan Aman Bantah Kartun Hina Nabi 10 Feb K.Lumpur

Umat Islam diseru menyertai perarakan aman pada hari Jumaat 10 Februari 2006 selepas solat Jumaat bagi membantah penyiaran kartun-kartun yang menghina junjungan kita Nabi Muhammad saw di akhbar-akhbar Eropah termasuk akhbar tempatan Sarawak Tribune yang telah menyiarkan kartun tersebut.

Perarakan akan bermula selepas solat Jumaat bermula dari Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur hinggalah ke perkarangan kedutaan di Wisma Denmark.

Umat Islam juga diseru mengadakan perarakan dan perhimpunan dengan aman. Umat Islam yang menyertai perarakan ini dilarang bertindak ganas, membakar bendera serta patung, mengeluarkan kata-kata keji dan penghinaan. Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang bertindak ganas.

Umat Islam diseru berarak dengan sopan dalam kumpulan, mengikut arahan petugas trafik. Menyediakan sepanduk yang menyeru agar akhbar-akhbar yang telah menyiarkan kartun-kartun tersebut meminta maaf, serta menyeru kerajaan yang terlibat agar mengambil tindakan ke atas akhbar-akhbar yang terlibat. Umat Islam juga disarankan mengadakan sepanduk yang memuji sifat-sifat Nabi Muhammad saw, berselawat, bertasbih, bertakbir, bertahmid dan bertahlil.

Semoga perarakan aman yang ditunjukkan oleh umat Islam di Malaysia ini akan menjadi contoh kepada umat Islam di seluruh dunia.

Justeru itu semua umat Islam di Malaysia disarankan menyertai perarakan ini, termasuk parti-parti politik UMNO, PAS, NGO-NGO , ABIM, JIM, PERKIM, Jawatankuasa Masjid dan lain-lain.

Semoga Allah memberkati perarakan aman ini.