KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100709

Kes Pecah Rumah Semakin Tak Terkawal di Senawang



Harian Metro
9 Julai 2010
1,000 bimbang rumah diceroboh

SEREMBAN: Kira-kira 1,000 penduduk Taman Lavender Height, Senawang, dekat sini, kini perlu lebih berwaspada terutama pada waktu malam susulan beberapa kejadian pecah rumah yang berlaku sejak kebelakangan ini dipercayai didalangi warga asing.

Sejak awal tahun ini hingga akhir bulan lalu, sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah dilaporkan membabitkan beberapa rumah penduduk di taman berkenaan terutama pada tengah malam dan awal pagi.

Kebanyakan kediaman yang menjadi sasaran mereka itu ialah rumah yang terletak di bahagian tepi atau berhampiran kawasan lapang kerana dipercayai memudahkan mereka melarikan diri selepas melakukan kegiatan jenayah.

Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Lavender Height, Mohamad Ghazi Rashid, 45, berkata pihaknya mendapati kumpulan penjenayah terbabit menceroboh masuk dalam kawasan rumah melalui beberapa lokasi tertentu.

Beliau berkata, mereka menggunakan pelbagai cara antaranya memotong bahagian bawah dawai pagar dan menanggalkan pintu pagar kecil yang terletak di bahagian belakang selain memanjat pagar sebelum menceroboh rumah penduduk.

“Setakat enam bulan pertama tahun ini, sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah dilaporkan penduduk kepada KRT taman ini manakala sepanjang tahun lalu dan tahun sebelumnya, lebih daripada 10 kes dilaporkan.

“Kejadian pecah masuk terbaru berlaku kira-kira dua minggu lalu membabitkan sebuah rumah teres di Jalan 21 dan berdasarkan maklumat mangsa, kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 2 pagi ketika dia dan ahli keluarga tidur,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada ahli keluarga terbabit terjaga selepas mendengar bunyi pintu dapur seperti diumpil dan dia terus pergi di bahagian berkenaan.

Menurutnya, sebaik menyedari ada penghuni rumah terbabit yang datang ke arah dapur rumah itu, penceroboh terbabit melarikan diri.

Katanya, pemerikasaan mendapati jeriji pintu itu dipotong manakala terdapat kesan umpil pada pintu.

“Dalam kes lain sebelum ini, juga mendapati penceroboh menggunakan kaedah sama iaitu memasuki rumah melalui pintu dapur sebelum masuk ke bilik dan mengambil barangan berharga,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diwujudkan di bawah seliaan KRT taman itu memperhebatkan aktiviti rondaan bermula jam 11 malam hingga 6 pagi pada setiap Jumaat hingga Ahad.

“Selain itu, kami melakukan rondaan mengejut pada malam tertentu bagi mengesan kemungkinan ada individu atau kumpulan tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk melakukan kegiatan jenayah terhadap penduduk taman ini.

“Menjadi matlamat kami untuk memastikan taman ini bebas kegiatan jenayah,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Yusof Mat, 64, berkata rumah jirannya pernah dimasuki pencuri awal bulan lalu, namun pencuri terbabit gagal memenuhi hajat mereka apabila penghuni berkenaan bertindak pantas menghalang tindakan mereka dengan kerjasama anggota SRS.

Beliau yang juga pesara kerajaan berkata, kewujudan SRS di taman itu banyak membantu dalam menyelesaikan pelbagai masalah membabitkan aktiviti pecah masuk, sekali gus memastikan keselamatan penduduk terjamin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/1_000bimbangrumahdiceroboh/Article

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukan saja kes pecah rumah semakin tak terkawal di Senawang, tapi keadaan kebersihan pun sudah tak terkawal.
Lihat, apa sudah jadi di Taman Komersial Senawang. Tempat letak kereta dekat Dataran Senawang sudah jadi macam di Jakarta dan Medan. Menyakitkan mata.
Kalau sudah dijadikan tempat letak kereta biarlah keadaannya begitu. Ini nak letak kereta pun susah kerana adanya gerai jualan yang kebanyakannya bukan kepunyaan orang Melayu.
Begitu juga di depan Dataran Senawang, sering diadakan funfair. Tempat tu adalah jalanraya dan ini menyusahkan pengguna jalanraya yang mana terpaksa masuk jalanraya no entery untuk ke Giant.
Apakah peranan pengurusan, MPS, polis dan wakil rakyat dalam menentukan Taman Komersial Senawang ini sentiasa bersih dan cantik tidak diketahui.
Harap kekalkan kecantikan dan kebersihan Bandar Baru Senawang jangan diapa-apakan. Kini, bulan ramadhan akan tiba, sudah pasti keadaan semakin bercelaru.
Mat rempit rasanya sudah berkurangan dan tibalah masanya gerai dan funfair yang menjelekkan pemandangan di hapuskan.

- Cucu Tok Siamang Gagap.