KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100701

Kerajaan rugi RM 2.7 Billion kerana Saman Ekor ?


Kira-kira RM 2.7 Billion gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan. Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati.

Sebelum ini saya ada menulis prosedur Saman Ekor menganiaya sesetengah pemilik kenderaan yang tidak bersalah. Pemandu yang bersalah terus bebas. Ulasan sepenuhnya di http://waghih.blogspot.com/2010/06/haramkan-saman-ekor-pdrm.html

Sekarang RM2.7 Billion saman tertunggak, majoriti adalah saman polis. Adakah ianya majoriti dari saman ekor ?

Kalau saman ekor , yang kena saman ialah pemilik kenderaan. Pemandu yang bersalah kalau dia bukan pemilik kenderaan, dia tak akan bayar samannya sampai bila-bila.

Menteri Dalam Negeri , tolonglah kaji balik sistem Saman Ekor ni. Buatlah macam negara lain, kalau nak saman, saman pemandu pada masa kejadian. Berikan lebih anggota polis untuk saman laju. Saman ekor perlu seorang anggota polis sahaja, saman pemandu mungkin memerlukan 10 anggota polis untuk buat sekatan jalanraya.

Juga bekalkanlah polis dengan kereta peronda yang boleh pergi 200 km/j bila ada saman laju, biar kereta peronda tadi boleh kejar pemandu yang memandu laju. Takkanlah polis nak kejar dengan Kancil atau Waja kereta Mercedes, Volvo, Bas Xpress , Evo , GTO dsbnya.

**************************
Dewan Rakyat: 16.5 Juta Saman Dengan Nilai RM2.7 Bilion Gagal Dikutip

KUALA LUMPUR, 30 Jun 2010 (Bernama) -- Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.

"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula," katanya ketika menjawab soalan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohd Nor mahu tahu jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini.

Abdul Rahim berkata bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Usaha lain yang dilakukan ialah memperuntukkan kira-kira RM282 juta bagi menambah baik sistem pungutan pengkomputeran JPJ yang dikenal pasti masih berkapasiti rendah bagi membolehkan kapasiti pungutan ditingkatkan.

"Kita juga menyediakan perkhidmatan online bagi pembatalan sekatan dan penyenaraian hitam di antara JPJ dan agensi lain khususnya PDRM dan mewujudkan pusat sehenti supaya pembayaran saman boleh dilakukan di mana-mana selain pembayaran secara online dan kad kredit," katanya.

Sementara itu ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan supaya saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata cadangan itu sukar untuk dipertimbangkan.

"Kutipan saman bukan hanya bertujuan mendapatkan hasil tetapi juga bagi meningkatkan persepsi ditangkap di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati," katanya.

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=509810

*******************
RM2.7b saman lalu lintas gagal dikutip

KUALA LUMPUR 30 Jun - Sebanyak 16.5 juta saman lalu lintas bernilai RM2.7 bilion yang diklasifikasikan tertunggak gagal dikutip kerajaan antara 2000 hingga 2008.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, saman itu membabitkan tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 15,220,358 saman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), 470,983 saman dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 838,507 saman.

"Saman yang dikeluarkan pada 2009 sehingga sekarang adalah saman aktif yang masih tidak dianggap sebagai tertunggak," katanya.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang bertanya mengenai jumlah kutipan saman yang gagal dikutip kerajaan sehingga April tahun ini pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang mencadangkan saman itu dihapuskan, Abdul Rahim berkata, tindakan menyaman itu bukan semata-mata untuk mendapatkan hasil tetapi bagi mewujudkan persepsi 'ditangkap' di kalangan pengguna jalan raya agar mereka lebih berhati-hati.

"Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), persepsi 'ditangkap' di kalangan pengguna jalan raya kini hanya 35 peratus.

"Apabila kita kenakan saman, kebanyakan pengguna masih menganggap tiada tindakan akan diambil. Ini berpunca daripada kelemahan kita untuk mengutip saman," katanya.

Dalam usaha mengutip saman tertunggak, katanya, kerajaan akan mengambil pelbagai langkah termasuk menyekat pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM282 juta bagi menambah baik sistem pengkomputeran JPJ yang masih berkapasiti rendah untuk membolehkan kutipan saman tertunggak ditingkatkan.

"Pusat sehenti bagi membayar saman akan diperbanyakkan, selain memperkenalkan pembayaran secara dalam talian dan kad kredit," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_06.htm

Tiada ulasan: