KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20120114

Pidato Anak Muda di tempat asal usul N.Sembilan


Pada 21 Januari 2012 ini Anak Muda Pakatan Rakyat akan mengadakan sesi penerangan di tempat asal bermulanya Negeri Sembilan. Sesungguhnya kewujudan Negeri Sembilan bermula di sebuah kampung yang bernama Kg Batang Nyamor di kaki Gunung Datuk, Rembau. Barisan Anak Muda tersebut ialah Mohd Sani Hamzan (EXCO Pemuda PAS Pusat), Chegubard (Ketua PKR Rembau), Ustaz Khairil Anwar Wafa (Ketua Pemuda PAS N.Sembilan) dan Mohd Hakki (Ketua Pemuda PAS Rembau).

Rembau adalah tempat bermulnya sejarah Negeri Sembilan.

Rembau juga adalah tempat kemasukan Islam di Negeri Sembilan dan pengembangan agama Islam di kalangan Orang Asal atau Orang Asli.

Negeri Sembilan pada asalnya didiami oleh orang-orang asli daripada suku kaum Sakai, Semang dan Jakun. Mereka hidup berpindah randah, memburu, mengutip hasil hutan dan ada yang mula bertani.

Kampung Batang Nyamor, mendapat nama apabila Batin Pak Nilu, anak Batin Chepa dan ipar kepada Batin Skudai ingin membina penempatan. Semasa meneroka hutan, Batin Pak Nilu telah bertemu sebatang pokok Merbau yang luar biasa besar dan tingginya. Setelah habis ditebang dikatakan selama 14 hari dengan menggunakan kekuatan tenaga zahir dan kekuatan batin tumbanglah pokok Merbau yang besar itu.

Kawasan yang diteroka tersebut akhirnya di bina dua penempatan, iaitu Kg Batang Nyamor dan Kg Mungkal.

Nama Kampung Batang Nyamor berasal dari batang pokok Merbau yang terjemur.

Nama Kampung Mungkal berasal dari pangkal pokok Merbau yang luar biasa besarnya.

Nama Rembau pula berasal dari pohon Merbau yang ditebang oleh kedua-dua Tok Batin.

Daerah Rembau, tidak akan wujud seperti adanya hari ini tanpa penglibatan dua tokoh pembesar Minangkabau dari Istana Pagar Ruyung yang bernama Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam.

Datuk Lela Balang telah sampai di Kampong Kota Lama. Datuk Lela Balang kemudian berkahwin dengan Datuk Bungkal, anak Batin Skudai. Datuk Lela Balang dan Datuk Bungkal telah mendapat 4 orang anak perempuan dan 1 orang anak lelaki yang bernama Sri Rama. Atas persetujuan Sultan Johor , anak Datuk Lela Balang ini telah dilantik sebagai Penghulu Rembau yang kemudian dipanggil Undang Rembau lalu bergelar Datuk Sri Rama iaitu Undang Rembau yang pertama dari tahun 1540 ke tahun 1555.

Datuk Sri Rama (Dato Lela Maharaja - Waris Jakun) pula telah berkahwin dengan anak Datuk Laut Dalam iaitu Datuk Siti Hawa ( Dato Sedia Raja - Waris Jawa) dan kemudian mendapat anak yang diberi nama Amba yang menjadi Undang Rembau kedua iaitu Dato Amba bin Dato Lela Maharaja Si Rama dari tahun 1555 ke tahun 1605.

Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan Kesultanan Johor. Kesultanan Johor yang memberi gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat, Naning, Rembau, Sungai Ujong, Johol, Jelebu, Hulu Pahang, Jelai dan Kelang.

Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan.

Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama, Raja Melewar, ditabalkan di Rembau iaitu di Kampung Penajis dan bersemayam di Kampung Astana Raja. Baginda mangkat di Rembau.

Negeri Sembilan juga mempunyai banyak kaitannya dengan kerajaan Islam Melaka yang jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511 ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Tiada ulasan: