23 April 2012 SENAWANG: “Penduduk amat tertekan kerana kawasan ini seolah-olah sudah menjadi perkampungan mereka merangkumi kira-kira 1,000 pekerja asing yang menjadi penghuni di beberapa unit rumah dan rumah kedai,” kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jasmin, Mohamad Azman Md Safar.
Menurut beliau, tindakan pihak tertentu menjadikan ia
sebagai asrama pekerja asing menyebabkan penduduk taman berkenaan berada dalam
keadaan tertekan berikutan sikap warga asing terbabit yang tidak disenangi
mereka.
Kata Mohamad Azman, kehadiran pekerja asing terbabit yang
tidak memahami dan menghormati budaya tempatan selain sikap pengotor mereka
menyebabkan ketenteraman penduduk tempatan terjejas.
“Kelakuan mereka yang suka membuang sampah merata-rata
menimbulkan rasa kurang senang penduduk tempatan kerana kawasan perumahan ini
menjadi kotor. Penduduk tempatan seolah-olah menjadi kuli mereka kerana
terpaksa membuang sampah dan membersihkan kawasan.
“Selain itu, penduduk semakin hilang sabar dengan sikap
warga asing itu yang turut menconteng bangunan dan berkelakuan kurang sopan
seperti berpakaian menjolok mata.
“Mereka juga didapati meminum minuman keras di luar asrama
tanpa menghiraukan jiran sekeliling selain menjadikan taman awam sebagai tempat
pergaulan bebas lelaki dan perempuan,” katanya. Menurutnya, penduduk bimbang
sikap negatif itu boleh mempengaruhi remaja tempatan sekali gus memberi kesan
tidak baik kepada pembangunan sahsiah mereka.
Dakwa Mohamad Azman, masalah itu sudah berlarutan sejak
lebih enam tahun lalu namun bilangan pekerja asing berkenaan tidak ramai
berbanding kini sehingga seolah-olah taman perumahan itu menjadi perkampungan
mereka.
“Ahli jawatankuasa KRT pernah menasihati warga asing
terbabit supaya memberi kerjasama dan tidak mengulangi perbuatan itu selain cuba
memahami budaya penduduk tempatan, tetapi ia masih berterusan,” katanya.
Bagi penduduk, Mohd Faizal Rahim, 35, masalah itu sudah lama
berlaku dan menyebabkan mereka tidak tahan lagi.
Dia yang menetap di situ lebih enam tahun lalu berkata,
sejak taman itu dijadikan ‘perkampungan warga asing’, pelbagai masalah sosial
berlaku dan tidak menolak kemungkinan ada berlaku kes persundalan membabitkan
mereka.
“Saya amat tidak menyenangi kehadiran mereka kerana banyak
membawa keburukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan