KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20150130

Langgar, culik tengah jalan




Dah banyak kes macam ini sekarang. PDRM pun dah keluarkan peringatan di TV semalam. Harap semua pengguna jalanraya lebih berhati-hati

Langgar, culik tengah jalan
29 Jan 2015

Kuala Lumpur: Langgar, culik dan samun. Itu taktik digunakan dua lelaki yang berpura-pura terlanggar sebuah kereta sebelum menculik tiga beradik dan menyamun mereka dalam kejadian di Jalan Syed Putra, di sini, Isnin lalu.

Difahamkan, sebaik merampas telefon bimbit, barangan kemas dan wang tunai dianggarkan RM20,000, suspek membebaskan mangsa di tepi jalan raya di Klang selepas membawa mereka sejauh 40 kilometer dari lokasi ‘diculik’.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, kereta dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun bersama dua adik perempuannya dilanggar dari belakang ketika melalui Jalan Syed Putra.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berhenti dan mahu berbincang dengan suspek, tetapi terkejut diacu pisau sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta penjenayah itu.

“Suspek menutup muka mangsa dengan baju sebelum membelasahnya selama beberapa minit.

“Seorang lagi penjenayah mengarahkan adik perempuan mangsa keluar dari kereta, namun mereka enggan menyebabkan suspek memecahkan cermin kereta dan menarik mereka keluar,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, suspek kemudian membawa mereka beredar dari kawasan terbabit dan memaksa mereka menyerahkan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan merayu dilepaskan, namun suspek membelasahnya.

“Suspek merampas telefon bimbit, wang tunai dan barangan kemas sebelum membebaskan mereka selepas dua jam menjadi tawanan,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa lelaki lebam seluruh badan dan terpaksa pulang ke rumah menaiki teksi.

“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tun HS Lee untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.


Tiada ulasan: