13 Januari 2015
SEREMBAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen
Seremban, di sini, semalam kerana didakwa mencederakan sepasang suami isteri
ketika menyamun mereka di Kilometer 246 Lebuhraya Utara - Selatan arah Selatan
pada 30 Disember lalu.
Radzy Razali yang kelihatan tenang semasa kedua-dua
pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant
Singh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Bagi pertuduhan pertama, Radzi didakwa mendatangkan
kecederaan kepada Chong Kar How, 25,
mengambil dompet, kad ATM, telefon bimbit, permit pekerja Singapura,
wang tunai RM600 dan SD60 kepunyaan mangsa.
Bagi pertuduhan kedua, Radzi didapati melakukan perbuatan
serupa terhadap Wong Wei Yun, 25, selain turut bertindak melarikan kad
pengenalan dan pasport milik wanita terbabit.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 pagi, selepas suami
isteri berkenaan terlibat dalam kemalangan semasa menuju ke Singapura, ekoran
kereta Honda City dinaiki terbabas ke bahu jalan akibat tayar pancit.
Selepas mendengar rayuan dan penjelasan tertuduh, mahkamah
kemudian membenarkan Radzi diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin yang
mesti beralamatkan di Seremban dan kes akan disebut semula pada 13 Februari
depan.
Sebagai syarat tambahan, tertuduh juga diperintahkan agar
melaporkan diri di Balai Polis Seremban 2, dekat sini, pada hari Isnin kedua,
setiap bulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan