KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100815

Rumah Ibu Hamil Luar Nikah perlu dibantu

Hukum hudud wajib dilaksanakan. Mereka yang ada kuasa tetapi jika tidak melaksanakan hukum hudud, tanggunglah sendiri di akhirat. Itu adalah kata-kata yang sering disebut oleh Ustaz Dato Hj Arshad Abdul Samad , Bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri Sembilan dalam Kuliah Feqah beliau, beliau tidak pernah berceramah atas pentas politik atau mengutarakan isu politik semasa dalam ceramah, kuliah atau forum beliau.

Cuba kita semua khususnya orang Melayu, tolong bersikap rasional. Baca betul-betul kisah di bawah ini. Pasangan ini pada pandangan saya perlu dibantu, untuk mengelakkan dosa yang lebih besar iaitu membunuh selepas berzina atau dirogol , pasangan suami isteri ini menubuhkan rumah perlindungan atas inisiatif sendiri untuk membantu gadis remaja yang terlanjur atau mungkin dirogol.

Hukum hudud ialah satu bab. Apa yang patut dibuat sekarang jika tidak dapat melaksanakan hukum hudud satu hal lain. Mungkin apa yang pasangan di bawah ini lakukan lebih mulia di sisi Allah pada masa kini daripada mereka yang berjihad di jalan Allah, atau bersedekah berjuta ringgit, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sebelum Melaka nak buat sekolah ibu hamil luar nikah , nampaknya pasangan di bawah ini telah mendahului kita semua.

Kepada Shahrizat , saya nak tanya, tahu ke tidak kewujudan rumah perlindungan di bawah ini ? Ada tak pasangan ini diberi apa-apa geran atau bantuan ?

*******************************
Isu bayi luar nikah masalah bersama

Berita Harian 15 Ogos 2010

Gadis terlanjur perlu diberi bantuan, bimbingan berterusan elak gejala berleluasa

SAYA pernah melawat sebuah rumah di mana anak muda Islam yang mengandung di luar nikah diberikan tempat untuk tinggal dan berlindung sehingga mereka melahirkan kandungan. Menurut pasangan suami isteri yang mengurus dan membiayai rumah itu, kebanyakan tetamu mereka tiba di pintu pagar, selalunya selepas mengandung empat atau lima bulan, hampir semuanya macam hilang punca tidak tahu hendak berbuat apa-apa atau ke mana. Melalui kawan mereka mendapat tahu mengenai rumah itu di mana tiada soalan ditanya – hanya usaha menyelamatkan bakal ibu dan anak yang lahir menjadi agenda utama.

Kebanyakannya muncul empat atau lima bulan selepas Hari Kekasih atau Valentine’s Day ataupun selepas sambutan tahun baru. Ketika itu ramai anak muda yang mudah terlupa hukum serta juga hasil dan kesan tindakan mereka.

Sebaik tiba, mereka dibawa berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubatan supaya ibu dan kandungan selamat dan sihat. Belanja mengurus datang daripada pasangan itu, serta derma ikhlas orang yang tahu.

Pasangan itu juga yang membawa gadis ke hospital, ada kalanya pada tengah malam atau pagi buta. Ini amal jariah mereka menolong orang yang masyarakat secara am tidak mahu tahu wujud. Di rumah itu kalangan tetamu, ada kalanya berbelas orang pada sesuatu masa di sebalik langsir yang membahagi ruang tamu rumah setingkat itu, diberikan tempat tinggal, makan dan pakai serta sepanjang masa mereka di situ pendidikan agama dan tempat mengadu nasib.

Mereka solat berjemaah dan diberikan ceramah agama, sesi kaunseling dan pemantapan emosi. Mereka akan meninggalkan rumah itu selepas melahirkan anak yang boleh dijaga sendiri atau oleh keluarga, ataupun diamanahkan kepada pasangan lain untuk dibesarkan sebagai anak angkat.

Pasangan itu berkata, rumah berkenaan diwujudkan kerana bagi anak gadis yang terlanjur, mereka tiada tempat dituju. Masyarakat, termasuk ada kalanya keluarga, tidak dapat menerima apa yang berlaku dan seakan mahu menutup mata bahawa perkara ini berlaku.

Contohnya, rumah itu terletak di sebuah kawasan perumahan di Kuala Lumpur yang hampir semua penghuninya bukan Melayu-Islam. Kata pasangan itu, jika di kawasan Melayu-Islam mereka bimbang ada yang akan menyerang atau mengusir mereka. Maklumlah anak muda itu melanggar hukum agama.

Sebenarnya orang Melayu-Islam semacam tidak boleh memikirkan bagaimana hendak menghadapi gejala sosial ini. Ia adalah dilema utama kita. Kita tidak mahu apa-apapun tindakan seperti mahu membenar atau menggalakkan apa yang haram. Kita tidak mahu dilihat seperti terbabit atau bersubahat dengan kemungkaran.

Namun, mahu tidak mahu, kita perlu menerima kenyataan yang ada antara anak muda kita yang tetap cuba untuk melakukan hubungan kelamin walaupun secara haram. Bagaimana banyak pun tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Negeri, ia tidak melenyapkan kemungkinan anak muda berkhalwat. Walaupun hukumannya rejam, ada juga orang akan melakukan perkara yang ditegah.

Sebagai masyarakat Islam apakah peranan dan tanggungjawab kita dalam usaha mengatasi masalah ini terutama menjaga nasib bayi yang bakal dilahirkan? Apakah kesudahan isu anak gadis Islam mengandung luar nikah? Apakah yang perlu mereka lakukan? Apakah tanggungjawab kita selain memandang serong dan mencaci mereka?

Kita tidak boleh berkata masalah ini tidak mungkin melanda kita. Hari demi hari, semakin banyak bayi dibuang, sekali gus menunjukkan perkara ini kian bertambah. Mereka melahirkan anak dan tidak tahu apa hendak dibuat lalu ditinggalkan merata-rata.

Walaupun hampir semua bayi yang dibuang itu bayi Melayu-Islam, ini tidak bermakna tiada bukan Islam mengandung di luar nikah. Ada antara mereka yang menggugurkan kandungan dan ada juga menerima kelahiran anak. Stigma terhadap mereka yang mengandung di luar nikah, kurang daripada Melayu-Islam, maka masalah bayi dibuang kurang kita dengar di kalangan mereka.

Walaupun apa juga yang kita katakan mengenai cadangan kerajaan Melaka mewujudkan sekolah untuk anak gadis mengandung, atau membenarkan anak muda yang sudah baligh untuk berkahwin, sekurang-kurangnya ada orang yang berfikir untuk cuba memberi sedikit penyelesaian kepada masalah ini.

Sudah tentu jika gadis belasan tahun mengandung, dia akan berhenti sekolah, ada kalanya untuk selamanya. Apakah masa depan mereka atau anak yang bakal dilahirkan jika mereka tiada berpelajaran? Mungkin mudah untuk memperlekehkan cadangan itu, ataupun mempersoalkan kesan moral tetapi selain mencemuh, apakah yang kita, masyarakat Islam khasnya, lakukan?

Kewujudan Baby Hatch atau tempat meninggalkan bayi tanpa apa-apa pertanyaan juga dipersoalkan; apakah lebih baik bayi baru lahir dibalut kain batik dan ditinggalkan di dalam kotak di tangga masjid?

Mungkin kebanyakan kita terlalu yakin dengan ahli keluarga kita untuk mengikut hukum agama dan yakin ia tidak boleh berlaku kepada kita. Namun siapa yang boleh menjamin perkara yang dilarang tidak akan berlaku?

Ramai yang hamil sebelum nikah adalah mereka yang berasal dari kampung atau bandar kecil dan bukannya gadis kota raya saja. Banyak juga yang cukup didikan agama, malah ada juga pelajar institusi pengajian tinggi.

Mungkin pendidikan seks atau pendidikan reproduktif antara cara penyelesaian. Ataupun penekanan lebih kepada pendidikan agama dan moral atau kedua-duanya sekali. Memang sukar untuk orang Melayu-Islam menangani masalah ini. Tetapi rasanya langkah pertama ialah bagi kita mengakui yang masalah ini wujud di sekeliling kita dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

Selagi kita berfikir ini bukan masalah kita, atau tidak mungkin berlaku dengan keluarga kita, maka orang lain akan memandang orang Melayu-Islam seperti tidak mahu menerima hakikat sebenar.

Adakah kita bersubahat dan berdosa jika kita membantu? Adakah kita berdosa jika di kalangan kita kita membiarkan anak baru lahir dibuang? Adakah kita boleh menerima saja keadaan setiap hari bayi ditemui di sana sini, atau lebih menyedihkan mayat bayi yang baru lahir dibungkus kertas surat khabar ditemui di tempat sampah?

Jelaslah, persoalan di atas memerlukan pemimpin masyarakat, politik dan agama untuk duduk bersama dan memikirkan bagaimana kita hendak membantu gadis dan anak yang bakal dilahirkan. Ia masalah kita semua.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Isubayiluarnikahmasalahbersama/Article

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kebuntuan melanda ibu yang mengandungkan anak luar nikah ini apatah lg bila bayi dilahirkan..seandainya kita membawa kes ke mahkamah dan menyatakan siapa bapa bayi tersebut adakah wajar ?supaya salah tidak seratus peratus hnya pd ibu?