KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100829

Segerakan Fatwa Haram Mercun, Promo dalam Khutbah

Kesian pelajar perempuan di bawah ini. Rasanya pelajar bukan Islam jika tengok dari baju sekolah yang dipakai. Mercun meletup dalam baju sekolah dibaling oleh pelajar sekolah rendah dari dalam bas sekolah. JAKIM minta tolonglah, hentikan budaya entah ajaran sesat mana bulan Ramadhan ialah bulan main mercun, terutama mercun bola. Keluarkanlah Fatwa Haram Main Mercun, kerana banyak mudarat. Ulas perkara ini secara mendalam dalam Khutbah Jumaat.

Kita ada 1 Jumaat sahaja lagi sebelum Idil Fitri.

Minta maaflah adik-adik dan abang-abang polis, nampaknya kena kerja lebih tangkap penjual mercun ini. Tak apa, insyaAllah dapat pahala, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa. Anggaplah kerja menangkap penjual mercun ini sebagai Jihad paling utama.

Semoga Allah membalas jasa-jasa kalian yang membanteras penjualan mercun dengan kebaikan di akhirat nanti.

***************************
Meletup dalam baju
Sinar Harian 29 Ogos 2010

BANDA HILIR - Seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah dekat sini, cedera di bahagian perut selepas menjadi mangsa mercun yang dilemparkan individu tidak bertanggungjawab ketika pulang dari sekolah.

Lebih mengejutkan, mercun yang dipercayai dibaling budak-budak ‘nakal’ itu dikatakan termasuk ke dalam pakaian seragam sekolahnya sebelum meletup.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik kerana mercun berkenaan tidak meletup kuat tetapi menyebabkan bahagian perutnya melecur, manakala pakaian seragam sekolahnya terbakar sedikit.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kelmarin beberapa meter daripada kawasan sekolahnya.

“Saya dan seorang lagi rakan berjalan ke luar sekolah untuk mencari bahan-bahan tugasan kumpulan sebaik sekolah tamat pada pukul 12.35 tengah hari.

“Sewaktu berjalan, saya sedar sebuah bas sekolah lalu dan seorang murid sekolah rendah membaling sesuatu ke arah kami. Tiba-tiba rakan saya menjerit mengatakan baju saya terbakar,” katanya.

Menurut mangsa, pada mulanya dia tidak menyangka objek yang dibaling itu adalah mercun, tetapi dia sedar selepas terasa panas dan pedih di bahagian perut, sebelum bertindak berlari masuk semula ke dalam kawasan sekolah.

“Saya dapat bayangkan jika mercun tersebut meletup kuat, tidak tahulah apa akan berlaku pada saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Dia kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada gurunya dan guru tersebut menghubungi ibunya yang semasa itu sedang bekerja, sebelum ibunya membawanya ke klinik untuk mendapat rawatan.

“Ini pengalaman teruk bagi saya. Walaupun tidak mendapat kecederaan serius, tetapi saya selalu membayangkan jika mercun yang dibalingnya jenis meletup kuat," katanya.

Dia bagaimanapun tidak berniat melaporkan kejadian kepada polis kerana tidak pasti individu yang membaling mercun itu, termasuk nombor pendaftaran bas sekolah terbabit.

“Mungkin dia tak berniat membalingnya pada saya, tetapi nasib saya kurang baik apabila ianya masuk ke dalam baju saya.
“Saya harap sesiapa pun lebih berhati-hati jika mahu bermain mercun atau bunga api," katanya.

Menurutnya, dia berhasrat untuk menyimpan pakaian sekolah yang rosak itu sebagai kenangan dan menyifatkan pakaian tersebut menyelamatkan dia dari cedera lebih teruk.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8117881.asp

29 Ogos, 2010 15:50 PM
Bom Buatan Meletup, Dua Melecur Hampir Seluruh Badan

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Dua pekerja siber kafe melecur hampir seluruh badan apabila sebuah kotak yang mengandungi bom buatan sendiri meletup depan sebuah unit rumah di tingkat bawah Apartment Desa Tun Razak, Cheras di sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, kedua-duanya, seorang pekerja wanita, diminta oleh majikan mereka untuk mengangkat sebuah kotak misteri yang dijumpai di hadapan rumah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata sebelum itu, isteri kepada majikan tersebut menemui sebuah kotak yang di atasnya diletakkan dua biji limau barli, ketika membuka pintu rumah.

"Wanita itu kemudiannya bertanya kepada suaminya tentang kotak tersebut namun suaminya berkata tidak tahu apa-apa mengenainya...

"Jiran-jiran mereka juga tidak tahu menahu mengenai kotak itu...wanita itu kemudiannya bertindak membuka sedikit kotak tersebut dan mendapati ada bau minyak tanah sebelum memanggil dua pekerjanya untuk mengangkat kotak berkenaan," kata Abdul Rahim kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata dua pekerja itu kemudiannya membuka kotak tersebut sebelum ia meletup dan mengenai kedua-dua mangsa.

Katanya, kedua-dua mangsa yang merupakan warga tempatan dan berusia 38 tahun (lelaki) serta 51 tahun (wanita) itu melecur teruk sebanyak 70 peratus dan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Hasil pemeriksaan di dalam kotak tersebut, polis menemui beberapa biji mercun bola dan minyak tanah...wanita tersebut bersama suami dan tiga anaknya tidak cedera kerana ketika itu mereka dipercayai berada di dalam rumah.

"Menurut penghuni rumah terbabit, mereka tidak bermusuh dengan sesiapa... kita sedang menyiasat motif sebenar kejadian sama ada ia berpunca dari dendam, khianat atau sebaliknya," kata beliau.

Katanya, akibat letupan kuat itu, cermin tingkap di lima rumah dalam deret yang sama turut pecah.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=524849

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

entah la bro. rokok sudah terang haram pun selamba saja hisap. tok imam pulak tu.

ni kena tunggu masjid runtuh kena baling mercun agaknya.

-aiman