KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100803

Sah ada buaya di pantai PD, adakah korek Pasir

Akhirnya sah ada Buaya di pantai Port Dickson. Adakah ianya ada kaitan dengan aktiviti korek pasir berhampiran sungai di Negeri Sembilan yang menganggu habitat buaya-buaya ini ? Cerita gambar dan video buaya-buaya di pantai Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ini di http://waghih.blogspot.com/2010/05/video-buaya-sedang-berenang-di-pantai.html


*************************
Sang Bedal di pantai PD

Kosmo 3 Ogos 2010

Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my


MOHD. FAREZ (kiri), Azay dan Suhaimi bersama bangkai buaya tembaga yang ditemui di pantai Port Dickson semalam.
---------------------------------------------------------------------

PORT DICKSON – Jika sebelum ini kehadiran buaya di pantai peranginan di Port Dickson sering dinafikan oleh banyak pihak, namun semalam persoalan itu terjawab apabila seekor buaya tembaga betina ditemui di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas dekat sini.

Reptilia pemangsa itu dijumpai terapung-apung oleh tiga orang pekerja binaan pada pukul 12.45 tengah hari ketika mereka sedang memancing di kawasan berkenaan.

Seorang daripada mereka, Suhaimi Salim, 35, berkata, dia dan rakannya yang sedang asyik memancing terkejut apabila ternampak objek yang pada mula disangka kayu.

“Saya nampak sesuatu seperti kayu terapung tetapi selepas dilihat dari jarak dekat, objek itu rupa-rupanya bangkai buaya dalam keadaan terlentang.

“Selepas yakin bahawa buaya itu kaku dan tidak bergerak, baru kami memberanikan diri menghampiri sebelum menariknya kira-kira 500 meter ke tepi pantai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Suhaimi memberitahu, selepas itu dia bersama rakannya menarik buaya terbabit di tepi pantai dan mendapati badan buaya itu terdapat luka dipercayai kesan ditembak.

Rakannya, Mohd. Farez Mohd. Said, 19, pula berkata, buaya sepanjang 5.48 meter dengan ukur lilit 2.43 meter dan berat hampir satu tan (kira-kira 1,000 kilogram) itu berkemungkinan berasal dari Sungai Linggi dekat sini.

Menceritakan detik penemuan reptilia itu, Mohd. Farez berkata, dia pada mulanya terkejut dan tidak mempercayai apa yang dilihat kerana buaya biasanya tidak ditemui di laut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0803&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm



GEMPAR ... Orang ramai menunjukkan seekor buaya seberat 3 tan yang ditemui terapung di perairan Kuala Linggi dekat Jalan Tanjung Agas, Batu 21, Prt Dickson pada 12.45 tengahari, Isnin. Seorang mekanik yang hanya mahu dikenali sebagai Azoy, 30 tahun berkata, sekumpulan pelajar kolej memaklumkan kepadanya mengenai buaya itu dan selepas mengumpul rakan-rakan yang lain, Azoy menggunakan mata kail untuk menarik buaya yang telah mati lebih kurang empat hari itu. Selepas diperiksa, buaya yang hampir reput berusia di antara 15 hingga 20 tahun dan dipercayai datang dari Sungai Linggi. Buaya tersebut kemudian di bawa oleh kakitangan Zoo Melaka untuk tindakan lanjut selepas dihubungi penduduk kampung. Foto BERNAMA
http://www.mstar.com.my/

Utusan Malaysia 3 Ogos 2010

Bangkai buaya tembaga seberat hampir satu tan ditemui di Port Dickson


Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan seekor buaya tembaga yang telah mati dipercayai ditembak di Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

TELUK KEMANG 2 Ogos - Memang benar ada buaya di Port Dickson!

Buktinya adalah penemuan bangkai seekor buaya tembaga berukuran 5.48 meter dan ukur lilit 2.43 meter dengan berat lebih kurang satu tan di pantai Ixora Permai, Tanjung Agas, Port Dickson di sini hari ini.

Penemuan itu menggemparkan penduduk sekitar yang sebelum ini hanya mendengar khabar angin mengenai kehadiran reptilia itu di pantai berkenaan sehingga bangkai haiwan itu ditemui terdampar berhampiran Kolej Uniti Pasir Panjang kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.

Kisah buaya di Port Dickson pernah menjadi topik hangat pada Januari lalu apabila seorang pemuda dari Melaka mendakwa kakinya digigit oleh reptilia itu sehingga cedera.

Bagaimanapun, kisah itu dinafikan Jabatan Perikanan negeri serta Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) selain kerajaan negeri.

Penduduk yang menemui bangkai buaya tembaga itu, Suhaimi Salim, 35, berkata, ketika itu dia memancing bersama-sama rakannya di lokasi berkenaan.

''Pada awalnya saya nampak satu objek seperti sebatang kayu besar dihanyutkan arus dan terapung di permukaan laut tetapi selepas dihampiri kami terkejut apabila objek itu adalah bangkai seekor buaya yang besar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dia bersama beberapa rakan yang lain menarik bangkai buaya itu ke pantai selepas yakin reptilia berkenaan sudah tidak bernyawa lagi sebelum menghubungi anggota polis dan orang ramai untuk mengesahkan penemuan bangkai berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi kejadian bertukar menjadi 'pesta' apabila orang ramai mula berkumpul untuk menyaksikan bangkai haiwan itu dari dekat.

Kata mereka, selama tinggal di Port Dickson dan berkunjung ke Tanjung Agas, ini adalah kali pertama reptilia sebesar itu ditemui oleh penduduk.

Bagi Mohd. Farez Mohd. Said, 19, dia percaya reptilia berkenaan datang dari kawasan paya bakau Sungai Linggi dan berada di laut untuk mencari ikan di pesisir pantai.

''Kami memang biasa memancing di situ dan penemuan bangkai buaya ini menakutkan kerana ia besar," katanya.

Bagi Azay Mohd. Safri, 30, pula, dia tidak menduga ada buaya 'tersesat' di laut dan ia boleh mengancam nyawa manusia lebih-lebih lagi pada waktu malam dan ketika reptilia berkenaan kelaparan.

''Tentulah kami terkejut kerana ada buaya di laut Port Dickson," ujarnya.

Dalam pada itu Penolong Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd. Zafifi Ramli berkata, pihaknya akan menyiasat kewujudan bangkai buaya di Tanjung Agas itu dan punca kematian haiwan itu.

''Kita akan menjalankan kajian terhadap bangkai buaya itu dengan bantuan kakitangan Zoo Melaka," ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0803&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm&arc=hive

Tiada ulasan: