KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081031

Nak ubati sikap sombong , ingat mati selalu

Setiap orang tidak boleh tidak ada sikap riak , takabbur , bongkak , sombong. Tak kiralah samada ahli politik , menteri , imam , bilal , ulamak , jurutera bahkan buruh kasar sekali pun ada sikap ini. Sikap inilah yang akan menjauhkan diri kita dari syurga dan mendekatkan kita ke neraka Allah.

Untuk mengubati penyakit ini memang payah. Ianya akan sentiasa datang setelah diubati. Oleh itu haruslah sentiasa diubati. Perlu banyak mengingati Allah, banyak beristighfar, menurut segala perintahNya, hormat ibu bapa dan sebagainya.

Antara ubat yang mujarab untuk penyakit ini ialah dengan banyak mengingati mati.

Banyak ziarah jenazah , ziarah kubur.

Banyak lihat mereka yang nazak kematian. Banyakkan mandi jenazah teman-teman kita , saudara kita. Usung jenazah . Peluk jenazah. Mandikan jenazah. Bawa van jenazah , masukkan jenazah ke liang lahad dan sebagainya.

Itu sebabnya kita lihat bilal yang menguruskan jenazah , jiwa mereka ini tenang. Mereka tak banyak mengata.

Syawal ini telah ramai mereka yang saya kenali kembali ke pangkuan Ilahi. Ada yang sempat saya ziarah , ada yang tidak sempat.

Allahyarham Ramlee meninggal dunia seminggu selepas raya. Saya selalu jumpa dia di surau. Dia pencen BPR. Kalau dia ada di taman ini , dia selalu akan datang isya. Seorang yang low profile dan mudah didampingi.

Minggu lepas ayah saudara saya juga meninggal dunia Baharuddin Idris di Kg Gadong. Juga seorang yang jarang saya nampak marah. Jenazahnya begitu mudah diuruskan.

Hari yang sama senior setahun saya Dr Adib Othman (Klinik Kassim) meninggal dunia, tak sempat saya nak ziarah. Kalau pergi klinik dia sentiasa senyum, bergurau dengan anak-anak.

Tadi pula ziarah Hj Osman dari Chengkau , seorang veteran pejuang Islam. Seorang yang saya tak pernah nampak marah, selalu beri nasihat.

Ingat mati bukannya sampai kita hilang semangat tak boleh buat kerja. Ingat mati supaya kita kerja sungguh-sungguh dalam apa jua yang kita lakukan , dalam pada masa yang sama kita sentiasa ingat pada Allah.

Beribadahlah seolah kita akan mati esok hari , bekerjalah seolah kita akan hidup selama-lamanya.

Kalau semua kita banyak mengingati mati dalam erti kata sebenarnya mungkin banyak penyakit lain akan sembuh, dengki , khianat , fitnah , adu domba , rasuah , menipu dan sebagainya.

Tiada ulasan: