KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20170223

Balu jurutera diundang malang



Balu jurutera diundang malang
23 Feb 2017

Port Dickson: Siapa sangka kehidupan serba mewah yang pernah dinikmati keluarga ini suatu ketika dulu hilang sekelip mata, malah mereka mengikat perut hampir setiap hari selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu.

Keperitan bermula selepas empat hari suami Zainurita Haron, 53, meninggal dunia, dia bersama lima anaknya berusia antara tiga sehingga 27 tahun dihalau dari rumah sewa di Kajang, Selangor.

Zainurita berkata, lima anaknya sudah tamat sekolah, tetapi dua anak angkat yang dibela sejak kecil berusia lima dan 14 tahun masih belajar.

“Suami pergi mengejut dan kami langsung tiada wang simpanan menyebabkan beberapa anak saya menamatkan pengajian kerana tidak mampu menanggung perbelanjaan mereka.

“Semua permohonan bantuan saya ditolak kerana kami dianggap keluarga berada. Ramai tidak percaya keadaan kami, malah ada yang menuduh saya menipu kerana pendapatan suami ketika dia meninggal melebihi RM15,000,” katanya ketika menerima sumbangan Pertubuhan Kebajikan Asnaf dan Setia Kasih (PERKASIH N9) di rumah sewanya di Fasa 1, Bandar Springhill, di sini, semalam.

Katanya, walaupun arwah suami bergaji besar sebagai jurutera cari gali minyak di dua syarikat swasta, dia perlu membayar hutang bagi membebaskan dirinya daripada muflis.

“Sebaik hutang selesai, dia menghadap Ilahi ketika bertugas di pelantar minyak. Apa yang memeranjatkan, majikan suami hanya menyerahkan RM2,000 sebagai kos pengurusan jenazah tanpa sebarang pampasan.

“Saya diberitahu, majikan tidak dapat bantu walaupun suami meninggal ketika bertugas. Rumah kami duduk ini rumah keempat sejak setahun lalu dan pemiliknya memberikan notis untuk kami mengosongkan dalam tempoh seminggu.

“Mana lagi kami nak pindah sedangkan untuk makan pun berjimat,” katanya yang menyewa rumah RM500 sebulan.

Zainurita berkata, sebelum ini dia menjual nasi lemak bagi menampung perbelanjaan namun selepas keretanya rosak sejak tiga bulan lalu, mata pencariannya terputus.

- Harian Metro

Lebih ramai bakal dibuang kerja

Lebih ramai bakal dibuang kerja
23 Feb 2017

KUALA LUMPUR – Lebih ramai pekerja dijangka diberhentikan sepanjang tahun ini berpunca daripada suasana ekonomi yang lebih mencabar selain adaptasi teknologi-teknologi baharu.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, antara sektor yang diramalkan terlibat ialah industri perbankan, insurans, pembinaan dan pembuatan.

Menurutnya, berdasarkan angka rasmi, setakat September 2016, jumlah pekerja yang telah diberhentikan mencecah 40,000 orang manakala bagi tahun 2015, jumlah mereka adalah kira-kira 44,000 orang.

“Situasi ekonomi sekarang serta pengenalan teknologi baharu membuatkan banyak majikan melihat semula keperluan tenaga kerja mereka.

“Saya percaya bilangan pekerja yang akan diberhentikan tahun ini mungkin sedikit lebih tinggi berbanding sebelumnya,” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar MEF-Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung topik Majikan dan Pencukaian di sini semalam.

- Kosmo


20170221

Kerajaan tua di sebalik Gunung Datuk



Kerajaan tua di sebalik Gunung Datuk
21 Februari 2017



GUNUNG Datuk merupakan puncak tertinggi di daerah Rembau, Negeri Sembilan, dengan ketinggian 884 meter, menjadi lokasi riadah bagi mereka yang gemar mendaki gunung.

Gunung Datuk juga menyimpan seribu satu kisah sejarah kerana di atas batu puncak gunung itu dikatakan terdapat kesan tapak kaki Hang Tuah.

Mengikut sejarah, kesan Ekspedisi Pamalayu pada tahun 1275 antara Kerajaan Singasari  di Jawa ke Kerajaan Dharmasraya di Sumatera menyebabkan pembukaan lima kerajaan tua di Negeri Sembilan, termasuk Kerajaan Prabu yang lokasinya kini terletak di Gunung Datuk.

Empat lagi kerajaan dikatakan terbentuk sebelum kedatangan orang Minangkabau ke negeri beradat itu ialah Kerajaan Sang Hyang Ujong yang kini terletak di Tanjung Tuan (Port Dickson), Kerajaan Kepayang di Seremban 2 (Seremban), Kerajaan Air Garam di Mambau (Seremban) dan Kerajaan Fo Lo An di Beranang atau Broga, bersempadanan antara Negeri Sembilan dan Selangor.

Kisah sejarah itu dikongsikan dua peminat susur galur sejarah di Negeri Sembilan, Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari, 48, dan Osman Mohammad, 54,  dalam temu bual bersama Sinar Harian.

Katanya, pada tahun 1372, puncak Gunung Datuk digunakan Datuk Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan Ketua-ketua Adat dan mengisytiharkan gelaran serta nama penyandang Datuk Lembaga.

Beliau berkata, sebelah tapak kaki Hang Tuah itu dikatakan berada di puncak Gunung Datuk, manakala sebelah lagi terdapat di Tanjung Tuan.

"Tetapi masih ada sejarah yang tersembunyi dan belum terungkai kerana tapak kaki berkenaan juga ada didapati pada batu di salah sebuah sekolah di daerah Rembau," katanya.

- Sinar Harian

'PIBG boleh minta, tetapi...'



'PIBG boleh minta, tetapi...'
21 Februari 2017



SEREMBAN - “Mereka boleh minta, tapi jangan paksa,” demikian reaksi bekas guru, J Arul Kumar tatkala mengulas tindakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah rendah di daerah ini yang mula menjadi tular di internet sejak Sabtu lalu. 

Sekolah terbabit dikatakan mengharap sumbangan satu rim kertas A4 putih 70g/m daripada setiap ibu bapa bagi menampung kos percetakan untuk tujuan pengurusan dan pembelajaran.

Difahamkan, sumbangan tersebut boleh diserahkan ketika mesyuarat agung PIBG ke-38 sekolah berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini. 

“Biarlah sumbangan dibuat secara sukarela. Fokus pada ibu bapa yang benar-benar berkemampuan saja. Maklumlah, harga satu rim kertas A4 pun boleh tahan sekarang.

“Kalau tidak silap saya, paling murah pun sekitar RM10. Bagi mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai tanggungan, nilai itu terlalu besar untuk dikorbankan.

“Inilah akibatnya apabila peruntukan untuk sektor pendidikan dikurangkan. Pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang jadi mangsa,” katanya.  

“Memandangkan pembelian dibuat oleh ibu bapa bukan secara pukal atau borong, harganya pasti lebih mahal berbanding pihak sekolah membelinya dalam kuantiti yang banyak.

“Kemudian, kualiti kertas yang disumbangkan pasti berbeza dan tidak seragam. Ini akan menimbulkan masalah lain kelak, misalnya apabila digunakan untuk mencetak soalan peperiksaan,” katanya.

- Sinar Harian

20170220

Anggota bomba cipta prototaip treler dwifungsi



Inovasi ini perlu diiktiraf antara yang terbaik. Berapa ratus ribu atau berapa juta ringgit dapat dijimatkan dengan inovasi ini. Tidak perlu R&D yang canggih manggih, tidak perlu ke luar negara melancong, habis duit buat “survey”,  bayar komisyen dan sebagainya. Tahniah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Anggota bomba cipta prototaip treler dwifungsi
20 Feb 2017




Kuantan: Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab mencipta sebuah prototaip bot pelbagai fungsi dikenali sebagai treler terapung penyelamat yang boleh diguna di atas air dan jalan darat untuk tugas menyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, bot itu hasil ciptaan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab diketuai ketua balai berkenaan iaitu Mohd Kamarudin Mohd Saufi.

“Dengan terciptanya bot ini, ia berupaya mengatasi masalah seperti dapat melalui jalan terputus akibat banjir ketika melaksanakan operasi menyelamat mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, gerak kerja reka cipta prototaip treler terapung penyelamat itu bermula pada Januari tahun lalu dan sudah digunakan untuk aktiviti menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Buloh di Mentakab baru-baru ini.

“Antara kelebihan utama bot ini adalah ia boleh bergerak atas darat sejauh 15 kilometer berbanding hanya satu kilometer bagi bot dua alam biasa.

Katanya, bot itu juga mampu menampung logistik hingga mencecah berat 450 kilogram pada satu-satu masa ketika berada di atas jalan darat.

“Selain itu, ia berkemampuan untuk mengangkut mangsa banjir yang jauh dari rumah mereka ke gigi air dengan hanya menggunakan dua anggota saja.

“Ini sekali gus dapat menjimatkan penggunaan tenaga kerja petugas penyelamat selain kos reka cipta yang berpatutan dengan anggaran kasar bernilai RM20,000,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya kini merancang untuk mempatenkan reka cipta berkenaan bagi tujuan dikomersialkan dalam usaha memperbanyakkan lagi penghasilan bot sedemikian.

- Harian Metro