Setelah beberapa kurun adat perpatih ini diamalkan di Negeri
Sembilan, kini ia semakin dilupakan terutama generasi baru yang lahir sekitar
tahun 60-an ke atas. Rata-rata anak watan Negeri Sembilan kini tidak memahami
adat perpatih, inti pati dan pengajarannya secara mendalam.
Mereka tidak tahu suku, pemimpin adat masing-masing apatah
lagi perjalanan adatnya.
Anak muda tidak ditarik untuk memahami adat perpatih malah
generasi lama selalu menganggap adat perpatih adalah hak mereka sahaja, hingga
timbul istilah siapa dahulu makan garam, menurut Pensyarah Kanan, Jabatan
Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya
Datuk Paduka Dr Rosli Saludin.
Ujar pengkaji sejarah Negeri Sembilan itu, pendapat dan
pandangan generasi muda mengenai adat perpatih sering dipinggirkan.
Malah anak muda yang mula berminat kepada adat perpatih
dianggap cabaran bagi mereka yang lama hingga timbul suara-suara nakal yang
menyatakan anak muda itu ingin merampas jawatan.
"Golongan cerdik pandai dalam kalangan anak muda memang
sudah terpinggir kerana dibimbangi mereka ini akan banyak cakap dan sering
bertanya kepada kepimpinan adat.
Ujarnya sangat penting membuang ego generasi lama dan baru
bagi mencari titik persamaan dan apabila sudah ada titik persamaan itu,
baharulah boleh duduk semeja berbincang.
Selain itu, sudah tiba masanya kerajaan Negeri Sembilan
menubuhkan Akademi Adat atau Institut Adat atau Yayasan Adat dalam bentuk yang
serius dan tidak ada kepentingan peribadi di dalamnya.
"Kita perlu hidupkan semula idea Datuk Undang Abdullah
Dahan dari Rembau yang mahukan semua kepimpinan adat ada ilmu setinggi yang
boleh. Jika mereka dilantik jadi pemimpin adat perlu amanah dan jalankan tugas
dengan baik.
"Jika bermasalah perlulah letak jawatan dan diganti
dengan yang baharu," katanya pendidikan adat perpatih juga perlu dijadikan
subjek tambahan di peringkat sekolah rendah dan menengah di negeri ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan