Kuala Lumpur 24 Dis 2013: Tabur paku
besi di lorong laluan motosikal. Itu antara taktik dikesan dilakukan
segelintir pengusaha bengkel dan individu tidak bertanggungjawab
bertujuan memancitkan tayar kenderaan bagi meraih keuntungan mudah di
beberapa laluan motosikal di sekitar ibu kota.
Pengusaha terbabit juga akan
meninggalkan nombor telefon bimbit mereka di penghadang jalan dan
dinding terowong, malah ada yang melekatkan iklan pada tiang papan
tanda jalan raya atau pokok untuk khidmat menukar serta membaiki
tayar motosikal yang pancit.
Kegiatan yang sudah lama dilakukan itu
dikesan kembali aktif dengan penemuan kira-kira dua kilogram paku
besi yang ditabur di sepanjang laluan motosikal berhampiran Plaza Tol
Sungai Besi, Khamis lalu.
Bukan itu saja, aktiviti berkenaan juga
dipercayai dilakukan orang awam yang menjadikan pekerjaan menukar
tiub tayar motosikal sebagai pendapatan sampingan mereka.
Selain paku, terdapat juga individu
tidak bertanggungjawab meletakkan peralatan tajam lain seperti skru
dan serpihan kaca bertujuan memancitkan tayar.
Kakitangan swasta yang mahu dikenali
sebagai Azhar, 21, berkata, pengalaman tiga kali menjadi mangsa cukup
memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati setiap kali
melalui laluan motosikal.
“Sepanjang tiga kali terkena, saya
terpaksa menghabiskan wang sehingga RM210 hanya untuk menukar tiub
tayar motosikal yang pancit. Kadang-kadang saya tidak minta bantuan
mereka, tetapi mereka dengan sendiri menukarkan tiub dan meminta
bayaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan