KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051029

Lagi bantuan mangsa gempa bumi daripada masyarakat N.Sembilan

Seremban 27 Okt – Masyarakat N.Sembilan sekali lagi menunjukkan keprihatinan mereka tanpa mengenal batas sempadan agama dan kaum apabila pelbagai lapisan masyarakat tampil untuk menghulurkan derma untuk membantu mangsa gempa bumi di Pakistan melalui Yayasan Amal Malaysia. Para pekerja kilang Dynea di Seremban yang terdiri daripada majoriti bangsa Cina dan India hari ini telah menyerahkan sumbangan kepada wakil Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan berjumlah RM 201.

Sementara itu sumbangan turut diterima daripada pelajar-pelajar Sek Men Agama Persekutuan Labu berjumlah RM 282.64.

Turut tidak ketinggalan ialah warga industri sekitar Senawang iaitu daripada pekerja-pekerja Samsung Corning sebanyak RM 475, pekerja-pekerja Samsung SDI RM 110.20, jemaah Surau Al Amin Taman Cempaka 2 berjumlah RM 473, kakitangan sebuah hospital awam di Lembah Klang sebanyak RM 550 serta derma orang ramai sebanyak RM 150.

Menurut Sdr Sufian Ibrahim, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, sumbangan yang diberikan oleh orang ramai ini akan segera disalurkan untuk membantu mangsa gempa bumi di Pakistan. Yayasan Amal Malaysia setakat ini telah menghantar dua misi membantu mangsa gempa bumi di Asia Selatan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang untuk membantu meringankan beban yang dideritai oleh penduduk di Asia Selatan yang teruk dilanda gempa bumi tersebut.

Dalam pada itu menurut beliau lagi, Yayasan Amal Malaysia amat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berkemampuan terutamanya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan saikologi untuk meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjadi sukarelawan bersama Yayasan Amal Malaysia untuk misi-misi ke Asia Selatan yang berikutnya.

Menurut Sdr Sufian lagi, beliau juga menggalakkan rakyat Malaysia untuk membantu dari segi wang ringgit dan tenaga untuk turut serta dalam mana-mana badan sukarela yang lain seperti Mercy, Aman Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sekiranya tiada wakil Yayasan Amal Malaysia yang hampir dengan lokaliti mereka. Ini adalah memandangkan negara yang dilanda gempa bumi yang teruk itu amat mengharapkan bantuan daripada semua pihak memandangkan kawasan yang dilanda malapetaka tersebut amat luas.

Kepada mereka yang ingin mengikuti perkembangan misi membantu mangsa gempa bumi dan untuk mendapatkan maklumat lanjut bolehlah melayari laman web Yayasan Amal di www.amalmalaysia.net atau menghubungi Sdr Sufian Ibrahim di 013-3589328 atau melalui e-mel xupmxutm@yahoo.com

Tiada ulasan: