KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051016

Orang Melayu Tak Nak Bela Pelacur Insaf

Di bulan Ramadhan masjid serta surau di Malaysia ini pada kebiasaannya mengadakan ceramah ataupun tazkirah bagi mengimarahkan lagi bulan yang penuh berkat dan rahmat ini.

Surau Alamanda, Senawang tidak melepaskan peluang dimana ramai jemaah berkumpul bersolat Tarawih untuk mengadakan pameran anti dadah oleh Agensi Dadah Kebangsaaan serta ceramah oleh En Mohd Heffney Abd Rahim, Presiden Persatuan Bekas Penagih Dadah (PENDAMAI) yang merupakan seorang bekas penagih dadah tegar.

En Mohd Heffney berusia 52 tahun, dan telah meninggalkan dadah lebih 27 tahun. Beliau sekarang ini mengendalikan pusat pemulihan penagih dadah di Pulau Carey, Selangor, dimana terdapat 60 orang bekas penagih dadah sekarang ini sedang menjalani proses pemulihan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Apa yang dapat disimpulkan ialah penagih-penagih dadah tidak rela mereka selama-lamanya menjadi penagih dadah. Mereka ingin kembali ke pangkuan masyarakat. Mereka memerlukan masyarakat untuk membimbing mereka. Akan tetapi tidak banyak pusat pemulihan yang diusahakan oleh orang Islam atau orang Melayu sendiri. Malah menurut beliau penganut Kristian lebih prihatin untuk memulihkan penagih-penagih dadah yang terdiri daripada orang Melayu hinggakan mereka sanggup menyediakan tempat perlindungan serta memberi makan dan minum kepada penagih-penagih dadah yang ingin pulih daripada ketagihan dadah.

Pendekatan agama adalah pendekatan yang paling sesuai ketika ini untuk memulihkan seseorang penagih itu. Kerana agama mementingkan seseorang itu untuk mengambil berat terhadap masyarakat dan jiran tetangga. Sekarang ini terdapat 280,000 penagih dadah di Malaysia. Sekiranya tempat perlindungan yang diusahakan seperti di Pulau Carey ini hanya boleh menampung 60 orang pada satu ketika , maka ianya akan mengambil masa lebih 2000 tahun untuk memulihkan semua penagih dadah di Malaysia ini.

Mengapa tidak semua masjid dan surau di Malaysia ini tidak dijadikan tempat perlindungan penagih-penagih dadah ? Jika penganut agama Kristian boleh menjadikan gereja mereka atau bangunan lain yang disewakan sebagai tempat pemulihan penagih dadah, mengapa tidak masjid dan surau ini idak diusahakan sebagai tempat perlindungan penagih ? Apakah orang Melayu ini terlalu dimanjakan sehingga tidak boleh memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat mereka, semata-mata menyerahkan semua masalah penagihan dadah kepada Kementerian Dalam Negeri ?

Untuk menyediakan 4,666 buah tempat perlindungan seluruh Malaysia atau 333 buah tempat perlindungan penagih dadah setiap negeri yang boleh menampung 60 orang pada satu masa adalah satu perkara yang mustahil dan memerlukan kos yang begitu tinggi. Akan tetapi yang pastinya setiap negeri di Malaysia ini mempunyai tidak kurang 400 buah masjid dan surau. Sekiranya setiap masjid dan surau dijadikan pusat perlindungan penagih dadah dengan bantuan masyarakat, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, sudah pasti perang untuk memerangi dadah ini akan berakhir dalam tempoh yang terdekat , insyaAllah.

Berbalik kepada tajuk artikel ini iaitu ‘Orang Melayu Tak Nak Bela Pelacur Insaf’. En Heffney selama ini hampir setiap hari didatangi oleh penagih-penagih dadah yang ingin bebas daripada ketagihan dadah. Sekarang ini pula beliau didatangi oleh pelacur-pelacur pula yang ingin lari daripada pelacuran dan inginkan perlindungan. Pelacur-pelacur ini tidak rela dengan apa yang mereka lakukan. Sekarang ini terdapat 21 orang pelacur yang sedang mencari tempat perlindungan. Ada dikalangan pelacur ini sudah mempunyai beberapa orang anak dan ada yang sedang mengandung. Kebanyakan pelacur ini melacur kerana hendak melepaskan “gian” mereka kepada ketagihan dadah.

Sebelum kita menuding jari kepada kerajaan kerana mempunyai masjid-masjid yang mempunyai seni bina yang menarik, menara yang tinggi, berharga jutaan malah ratusan juta ringgit tetapi tidak boleh menyediakan tempat perlindungan kepada pelacur, tanya diri kita dahulu , sanggupkah kita menjadi seperti En Heffney yang membantu bekas-bekas penagih dan bekas-bekas pelacur menggunakan segala wang ringgit dan tenaga yang ada ? En Heffney tidak meminta wang ringgit untuk mengendalikan pusat pemulihan penagih dadah di Pulau Carey. Apa yang beliau minta adalah supaya masyarakat Islam dan Melayu terutamanya agar mengambil berat apa yang berlaku disekeliling mereka dan membantu penagih-penagih dadah dan pelacur-pelacur yang ingin kembali ke pangkal jalan, jangan hingga mereka semua ini pergi ke gereja-gereja kerana masjid dan surau tidak membuka pintu yang luas kepada mereka serta tidak mengalukan kedatangan mereka.

Khutbah-khutbah Jumaat seharusnya dijadikan titik tolak untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan bahaya dadah dan bagaimana untuk menanganinya. Khutbah Jumaat seharusnya dijadikan medan jihad untuk memerangi gejala dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

Rozmal bin Malakan
Setiausaha
Surau Taman Alamanda
Senawang, N.Sembilan

Tiada ulasan: