KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051028

UMNO dan PAS harus ambil sikap bersaing bukan bermusuh

Kelewatan ini agenda perjuangan Melayu menjadi topik perbualan di mana-mana. Daripada persidangan di Parlimen hinggalah di kedai-kedai kopi. Namun permasalahan orang Melayu ketika ini tidak banyak berubah. Orang Melayu menjuarai segala statistik yang ada, baik dari sudut penagihan dadahnya, pembuangan bayinya, penganggurannya , tidak dapat melanjutkan pengajian baik di peringakat sekolah rendah, sekolah menengah apatah lagi pengajian tinggi dan seterusnya.

Melayu tidak dapat dipisahkan daripada UMNO dan PAS. Walaupun tidak semua ahli UMNO adalah orang Melayu atau beragama Islam dan juga tidak semua ahli PAS adalah orang Melayu. Akan tetapi majoriti ahli UMNO dan PAS adalah orang Melayu. Tidak dapat tidak pembelaan nasib orang Melayu sering diketengahkan dalam kedua-dua parti ini. Pembelaan nasib orang Melayu ini bukanlah mengenepikan pembelaan nasib bukan Melayu kerana setiap kaum di Malaysia ini ada parti atau persatuan yang memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri.

Pembelaan nasib orang Melayu yang teruk terlibat dalam dadah secara tidak langsung membantu kaum lain juga. Jika orang Melayu berjaya mengurangkan kadar penagihan dadah, maka segala bentuk jenayah yang berkaitan dengan dadah akan berkurangan. Dan ini memberi manafaat kepada semua kaum, kerana jenayah tidak mengenal mangsa mereka. Peragut berbangsa Melayu akan meragut mangsa yang memakai rantai leher, tidak kira mangsa tadi berbangsa Melayu, Cina atau India.

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi tulen haruslah mempunyai parti-parti politik yang bersaing antara satu sama lain, bukannya mengambil sikap bermusuhan antara satu sama lain untuk memajukan masyarakat. Dan orang Melayu pula jika ingin maju, maka parti-parti politik yang mempunyai majoriti ahlinya orang Melayu haruslah juga bersaing antara satu sama lain bukannya bermusuhan antara satu sama lain. Dan persaingan ini haruslah berjalan dengan mengambil sikap siapa yang terbaik untuk memberi khidmat kepada masyarakat tanpa memperlekehkan usaha yang diambil oleh pihak yang lain.

Kita mempunyai “kek” yang begitu besar untuk dikongsi bersama. Akan tetapi “kek” yang besar ini bukanlah dalam bentuk kekayaan, ianya adalah dalam bentuk penyakit sosial, jenayah, pengangguran, kemiskinan dan seterusnya. Jika hari ini UMNO memberikan sumbangan kepada 1000 orang fakir miskin dan PAS memberi sumbangan juga kepada 1000 orang fakir miskin , terdapat puluhan ribu lagi fakir miskin yang perlu dibantu. Jika hari ini UMNO berjaya memulihkan 2000 orang penagih dadah dan PAS berjaya memulihkan 2000 orang penagih dadah, terdapat lebih 200,000 lagi penagih dadah di luar sana yang majoritinya berbangsa Melayu. Jika hari ini UMNO memberikan tusyen percuma kepada 70 orang pelajar buta huruf dan PAS memberikan tusyen juga kepada 70 orang pelajar yang buta huruf, terdapat 70,000 lagi pelajar di luar sana yang tidak tahu membaca, apatah lagi menulis dan mengira.

Setiap parti politik itu ada keunikannya dan adalah melawan ketentuan sekiranya ianya disatukan, sepertimana didalam Al Quran yang menyatakan dijadikan manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk mereka mengenali antara satu sama lain. Sedangkan tidak mustahil untuk Allah menjadikan hanya satu bangsa sahaja di dunia ini.

Persaingan antara parti-parti politik ini seharusnya terlaksana dalam suasana persaingan yang sihat serta menguntungkan orang Melayu. Sikap iri hati dan hasad dengki haruslah dielakkan sama sekali kerana ianya hanya akan merugikan golongan yang mengharapkan bantuan dan pembelaan. Sebagai golongan yang mengharapkan bantuan dan pembelaan mereka sepatutnya diberikan peluang untuk mendapatkannya daripada mana-mana pihak. Golongan fakir miskin dan anak yatim di bulan Ramadhan ini contohnya akan mendapat manafaat apabila UMNO dan PAS menghulurkan bantuan kepada mereka walaupun upacara sumbangan tersebut tidak diadakan dalam majlis yang sama. Tapi apa salahnya sekiranya ianya diadakan pada majlis yang sama.

Apabila sikap persaingan sihat antara UMNO dan PAS ini semakin rancak dan sikap bermusuhan atau menidakkan peluang antara satu sama lain untuk berbakti kepada masyarakat diketepikan, lama kelamaan orang Melayu akan dapat menyelesaikan masalah yang melanda orang Melayu ini secara lebih berkesan walaupun bukannya diatas pentas politik yang sama. Untuk UMNO menafikan kehadiran PAS di tengah masyarakat serta untuk PAS menafikan kehadiran UMNO di kalangan masyarakat Melayu akan hanya menjauhkan lagi usaha-usaha untuk memulihkan dan menyelamatkan bangsa Melayu ini daripada terjebak ke masalah gejala sosial, penagihan dadah, pengangguran, perceraian serta namakan apa sahaja yang lebih teruk lagi.

Apakah UMNO dan PAS ini hanya boleh bertemu apabila ada upacara pengkebumian atau ada kematian di kalangan pemimpin mereka atau ahli keluarga pemimpin mereka ?

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, N.Sembilan

Tiada ulasan: