KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110127

Pusat Kegiatan Saudara Baru Negeri Sembilan

Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan telah mengosongkan 2 buah rumah di Kompleks Masjid Tok Muar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan kerana tidak dapat membeli rumah-rumah berkenaan setelah tempoh yang diberikan oleh pemaju dan penyewa rumah berakhir.

Namun begitu, YKSNS bersyukur ke hadrat ALlah swt dan berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah menghulurkan sumbangan ikhlas bagi memastikan pembelian rumah No. 1 Taman Cemerlang, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi kenyataan. Sumbangan yang diterima telah digunakan sebagai wang pendahuluan dan kos guaman bagi membiayai pembelian rumah berkenaan. Kami redha dengan ketentuan Allah swt.

Walau bagaimanapun, pada waktu ini berlaku peningkatan dalam permintaan untuk menggunakan rumah tersebut menyebabkan kami terpaksa menempatkan mereka di rumah-rumah papan ( bekas kuaters kerajaan) yang perlu pembaikpulihan lagi. Keadaan rumah tersebut memerlukan pembaikpulihan dan melengkapkan kemudahan asas. Diharapkan dengan adanya Pusat Kegiatan Saudara Kita, mereka yang memerlukan perlindungan akan menjadi lebih mudah dan kerja kami menjadi ringan.

Pusat Kegiatan Saudara Baru hendaklah mempunyai pengurusan kerja yang mantap dan bersedia untuk berkhidmat 24 jam kepada masyarakat terutama rakyat Negeri Sembilan dan umat Islam khasnya. Pusat ini diharapkan dapat menjadi pelengkap kepada tugas dan tanggungjawab yang dijalankan oleh NGO selama ini. Selain daripada itu, pusat ini hendaklah menjalin kerjasama rapat dengan NGO selanjutnya menjadi stesen pemangkin gerakan kebajikan dan dakwah di Negeri Sembilan. Didoakan semoga diterajui oleh mereka yang mesra masyarakat, mesra NGO dan mesra rakyat.

Pembinaan PKSB ini merupakan suatu kejayaan kita. Lebih-lebih lagi reka bentuknya bertujuan untuk memaparkan keuniversalan Islam dengan mengambil seni bina masyarakat cina sebagai tema sudah tentu bakal membuka ruang dan peluang kepada masyarakat cina untuk membuka mata terhadap keterbukaan Islam menghadapi keadilan dan kesaksamaan di mana status seseorang manusia bukan ditentukan dengan keturunan, bangsa, bahasa, kekayaan ataupun warna kulit melainkan hanya dengan nilai atau paras ketaqwaan semata-mata.

YKSNS berbangga dengan adanya PKSB untuk menyediakan ruang dan peluang kepada saudara baru untuk memantapkan pengetahuan agama, meningkatkan kehidupan semasa dan menjadi contoh teladan kepada diri dan masyarakat.

Sudah pasti ini adalah salah satu tanggungjawab Baitul Mal dalam usaha membela golongan asnaf sesuai benar dengan fungsi dan kewujudannya. Hasilnya adalah agama diimarakkan, semoga dengan izin Allah swt lebih ramai orang terbuka hati dan memperolehi hidayah untuk menganut agama Islam seterusnya beramal dengannya.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya usaha-usaha ini mendapat keberkatan Allah swt.

Wednesday, January 26, 2011

Sumber : http://yksnegerisembilan.blogspot.com/2011/01/kompleks-masjid-tok-muar-kuala-pilah.html

Tiada ulasan: