KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110331

Kes jenayah makin banyak di Parlimen Rembau


Rabu 30 Mac 2011 saya cuti setengah hari ada urusan di Pejabat Pertanian dan Pejabat Tanah Rembau. Dalam perjalanan melepasi pekan Senawang berhampiran satu selekoh kilang saya dapati jalan ke kilang tersebut di tutup dengan pita kuning polis dengan anggota polis bersenjatakan HK MP5 sedang berkawal, orang ramai mundar mandir sekitar kawasan. Pasti ada kes jenayah berat dalam hati saya.


Sebab saya ada temu janji di Rembau saya pun teruslah jalan. Selepas urusan di Pejabat Pertanian dan Pejabat Tanah saya pun lepak minum teh dengan budak kampung dan warga emas di kedai kopi pekan Chengkau sambil memerhatikan lori-lori angkut tanah yang banyak dalam projek pembinaan landasan keretapi berkembar.


Antara topik yang dibualkan oleh budak kampung tadi ialah masalah setempat di Rembau. Banyak budak-budak muda lari ke bandar terutama di KL mencari pekerjaan. Juga budak-budak kampung yang banyak terlibat dengan kes dadah, mereka hendak berhenti hisap dadah, tetapi tiada sokongan dari keluarga, sahabat handai dan sanak saudara.


Katanya lagi kes jenayah semakin banyak di Rembau. Kes pecah rumah siang hari, kes samun warga emas, kes pecah kereta dan banyak lagi kes lain. Rembau ni banyak warga emas yang tinggal bersendirian atau berpasangan. Anak-anak ramai yang merantau. Maka warga emas nilah yang menjadi sasaran penjenayah, perompak, penipu dan sewaktu dengannya. Inilah akibatnya apabila terlalu dimomokkan indeks jenayah menurun, rakyat menjadi leka, mereka langsung tak minat untuk menyertai Skim Rondaan, Skim SRS, Rukun Tetangga secara sukarela.


Apabila jawatankuasa taman atau kampung nak upah pihak keselamatan untuk rondaan pula, mereka juga enggan membayar kerana sangkaan mereka indeks jenayah semakin turun , rakyat semakin selamat.


Jadi berbalik pada kes polis dengan HK MP5 tadi , baru tahu rupanya RM 1 Juta wayar emas di rompak, kalah filem Hollywood. Pengarah Hollywood kalau baca berita ni pun malu sebab perompak bukan guna Steyr, AR 5, M16, AK47 ke, guna parang. Parang RM10 boleh beli mana-mana kedai hardware. Tempat rompakan RM 1 juta ini juga samada dalam atau di sempadan parlimen Rembau.



Perompak rempuh lori samun bahan RM1 juta


Berita Harian 31 Mac 2011 SEREMBAN: Sekumpulan perompak merempuh sebuah lori syarikat keselamatan yang membawa bahan semikonduktor bernilai lebih RM1 juta sebelum melarikannya di Lorong Senawang 2/3 Kawasan Perindustrian Senawang di sini, semalam. Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, seorang perompak memandu sebuah treler curi dan melanggar bahagian depan lori terbabit menyebabkannya berhenti di tengah jalan.


“Pada masa sama, empat lagi rakannya bersenjatakan parang yang menaiki kereta datang dari belakang lori berkenaan sebelum mengarahkan tiga pengawal keselamatan menyerah diri. “Mereka tidak bertopeng kemudian memecahkan pintu belakang lori berkenaan dan memindahkan barangan dibawa ke dalam kereta sebelum melarikan diri,” katanya.


Beliau berkata, pengawal keselamatan yang memandu lori cedera ringan akibat rempuhan dan dua lagi tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. http://www.bharian.com.my/articles/PerompakrempuhlorisamunbahanRM1juta/Article/


Lima penjenayah guna treler curi rompak wayar emas


SEREMBAN 30 Mac - Lima penjenayah bertindak nekad melarikan sejumlah wayar emas dari sebuah lori syarikat keselamatan, selepas kenderaan itu dirempuh menggunakan sebuah treler curi. Kejadian berlaku di Lorong Senawang 2/3, Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini. Ketika kejadian, lori syarikat keselamatan itu yang dinaiki tiga pengawal keselamatan dalam perjalanan ke sebuah kilang syarikat semikonduktor di kawasan perindustrian itu.


Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, salah seorang daripada penjenayah yang memandu sebuah treler bertindak merempuh bahagian depan lori keselamatan berkenaan menyebabkan ia terhenti di lorong tersebut.


"Empat lagi rakannya yang bersenjatakan parang dan menaiki sebuah kereta muncul di belakang lori keselamatan itu sejurus selepas kejadian dan mengarahkan kesemua pengawal keselamatan tersebut menyerah diri. "Mereka kemudian memecahkan pintu belakang lori keselamatan itu dan memindahkan wayar emas ke dalam kereta sebelum melarikan diri," katanya. Menurut Mohd. Yusoff, pengawal keselamatan yang memandu lori berkenaan cedera ringan akibat impak pelanggaran, manakala dua rakannya tidak mengalami kecederaan. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm

Tiada ulasan: