KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20121127

Awas, lagi serangan buaya di pantai Malaysia


Mungkin ada diantara kita berfikiran buaya hanya menyerang mangsa di sungai terutama di Sarawak. Sebenarnya buaya juga boleh hidup di pinggir air masin, di kawasan pantai. Kawasan pantai bukanlah habitat buaya, tapi adalah laluan buaya apabila ia berhijrah dari satu kuala ke kuala yang lain.

Namun apa yang mengejutkan, serangan buaya di Pantai Pasir Panjang, Sarawak ialah ianya berlaku di luar musim buaya berhijrah.

Pantai di Negeri Sembilan dan Melaka juga sebelum ini berlaku kejadian buaya-buaya berenang ke pantai peranginan. Beberapa kejadian kemunculan buaya di pantai Port Dickson dan Melaka dilaporkan di http://waghih.blogspot.com/2010/05/video-buaya-sedang-berenang-di-pantai.html

Alhamdulillah setakat ini buaya-buaya di Negeri Sembilan dan Melaka tidak menyerang manusia. Apakah ini ada kaitan dengan perjanjian ulama-ulama di Negeri Sembilan dengan buaya-buaya ini adalah tidak dapat dipastikan seperti yang dilaporkan di http://waghih.blogspot.com/2010/05/3000-buaya-di-pantai-melaka-dan-ulama.html

Apakah perjanjian tersebut? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Yang penting kita perlulah pastikan agar habitat buaya-buaya di Sg Linggi tidak terancam dek pembangunan dan pencemaran.

Sempat tendang buaya sebelum pengsan
27 Nov 2012

Santubong: Terselamat daripada serangan buaya ketika berenang di Pantai Pasir Panjang di sini, menjadi pengalaman paling ngeri bagi Muhd Azlan Marzuki, 20, semalam.
Pelajar Diploma Pengajian Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sarawak itu bernasib baik kerana sempat menendang buaya dan berenang ke pantai sebelum pengsan, kira-kira jam 6 petang.

Dalam kejadian itu, Muhd Azlan yang kali pertama mengunjungi pantai berkenaan bersama keluarga, mengakui pernah membaca kes serangan buaya di kawasan berkenaan.

“Ketika berenang kira-kira 20 meter dari pantai, saya tidak menyangka kayu yang saya terpijak adalah kepala buaya. Belum sempat mengalihkan kaki, buaya itu terus menyambar dan menggigit kaki kanan sehingga ke atas buku lali.

“Pada waktu itu, apa yang saya fikirkan cuma mahu melepaskan diri. Dengan menggunakan segala tenaga yang ada, saya menendang kuat kepala buaya berkenaan.

“Mujur buaya melepaskan gigitan dan saya sempat berenang ke pantai,” katanya sambil mendakwa buaya itu sepanjang dua meter.

Muhd Azlan berkata, sejurus sampai ke pantai, dia rebah kerana luka yang dialami akibat gigitan buaya yang menyebabkan banyak pendarahan.

Dia yang enggan lukanya dijahit, menerima rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS) kira-kira sejam selepas kejadian dan dibenarkan pulang.

Serangan buaya itu kes kedua di kawasan itu selepas pelajar, Ashley Austin Chin, 14, cedera digigit pada kedua belah kaki dalam kejadian 22 Ogos lalu.


Pelajar UiTM cedera digigit buaya

KUCHING 26 Nov. - Seorang pelajar semester dua Diploma Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) nyaris maut akibat diserang seekor buaya ketika mandi di Pantai Pasir Panjang, Santubong dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang itu, seekor buaya jenis Jejulong sepanjang tiga meter dipercayai menyerang mangsa, Muhammad Azlan Marzuki, 20, hingga mengakibatkan pergelangan dan tapak kaki kanannya luka teruk.

Menceritakan kembali saat ngeri tersebut, anak kelapan daripada 11 beradik itu memberitahu, dia tidak dapat melupakan detik bertarung dengan reptilia ganas berkenaan selama 15 minit demi menyelamatkan nyawanya.

"Ketika kejadian, saya sedang berenang dengan adik perempuan saya di tengah laut dan tiba-tiba saya terasa seperti kaki saya digigit sesuatu.

"Saya kemudian melihat ke dalam air dan mendapati terdapat seekor buaya sedang menggigit kaki saya dan selepas beberapa minit bergelut, akhirnya saya berjaya menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Jalan Mataim di sini hari ini.


Kaki bocor digigit ‘kayu’

SANTUBONG: “Saya ingatkan batang kayu dan terus berdiri di atasnya, tetapi benda itu tiba-tiba menggigit kaki kanan saya,” kata Mohamad Azlan Marzuki, 20, mangsa serangan buaya di Pantai Pasir Panjang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Azlan dari Kampung Haji Mat Taib, Kuching mengalami pendarahan teruk di bahagian kaki kanan selepas dipercayai digigit buaya ketika mandi di pantai berkenaan bersama beberapa ahli keluarganya.

Menurut Azlan, dia bersama keluarga menghabiskan cuti hujung minggu dengan berkelah di tepi pantai berkenaan, namun tidak menyangka kunjungan pertamanya itu membawa tragedi yang hampir meragut nyawanya.

“Saya berenang berseorangan kira-kira 20 meter dari kawasan pantai, tiba di satu kawasan saya rasa seperti berdiri di sebatang kayu, tetapi tiba-tiba benda itu menggigit saya.

“Saya cuba melepaskan diri dengan menyepak kepala buaya itu sebelum berenang ke tepi pantai bagi mendapatkan pertolongan.

“Dengan sepenuh tenaga saya cuba melepaskan diri daripada gigitan buaya itu, selepas beberapa kali mencuba baru reptilia itu melepaskan kaki saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, setibanya di tepi pantai dia melihat ada tujuh hingga lapan kesan gigitan gigi buaya di bahagian kaki kanan dan mengalami pendarahan yang banyak.

“Saya pitam apabila melihat darah keluar dengan banyak dan kesan gigitan yang agak dalam, namun bersyukur berjaya melepaskan diri daripada dibaham haiwan yang dianggarkan berukuran lebih dua meter itu,” katanya.

Azlan yang dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut berkata pengalaman itu menyebabkan dia tidak lagi berhasrat untuk mandi di pantai berkenaan.

Kejadian yang menimpa Azlan itu adalah yang kedua berlaku di kawasan sama di mana pada 22 Ogos lalu, kira-kira jam 7.30 pagi, seorang pelajar, Ashley Austin Chin, 14, cedera di kedua-dua kaki akibat serangan haiwan itu.


Pelajar cedera selepas kaki dibaham buaya Pasir Panjang

KUCHING – Buaya di Pantai Pasir Panjang, Santubong dekat sini kembali mengganas dengan membaham kaki kanan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhd. Azlan Marzuki dalam kejadian pukul 6 petang kelmarin.

Ia merupakan serangan kedua tahun ini selepas kaki seorang remaja, Ashley Austin, 14, dibaham buaya di pantai itu pada Ogos lalu.

Muhd. Azlan, 20, menceritakan, dia sedang mandi kira-kira 10 meter dari pantai sebelum seekor buaya yang dipercayai sepanjang tiga meter membaham kaki kanannya dari belakang dan cuba mengheretnya ke dalam air.

Dalam keadaan panik, pelajar Sains Sukan UiTM Samarahan itu sempat mengerah kudrat selama 15 minit dengan meronta-ronta sambil menendang kepala reptilia itu beberapa kali dengan kaki kirinya sebelum dia akhirnya dilepaskan.

Tiada ulasan: