Pelajar yang menggunakan cuti sekolah
untuk melayari laman sosial Facebook selama tiga hingga tujuh jam
sehari dibimbangi mengidap kemurungan pada masa depan.
Risiko kemurungan membabitkan kesihatan
mental berlaku kerana kurang pergaulan sosial, justeru, apabila tiba
masa berdikari, golongan terbabit berdepan masalah menyerap tekanan
ketika bekerja akibat kelemahan menguasai keadaan sekeliling, iaitu
‘copy skills’.
Pengarah Hospital Sentosa, Dr Lau Kim
Kah, berkata bagi mengelak keadaan itu, ibu bapa perlu menggalakkan
anak mereka keluar bersosial secara sihat khususnya ketika musim
sekolah, supaya kemahiran menguasai tekanan dapat dipelajari.
Kemahiran murid
“Apa yang dimaksudkan dengan copy
skills adalah kemahiran murid meniru atau belajar daripada
persekitarannya dalam memahami masalah dan menyerap tekanan.
“Kegagalan mempelajari kemahiran
dalam situasi bukan formal akan menyebabkan golongan terbabit
berdepan risiko mengidap kemurungan, sekali gus mengalami masalah
mental,” katanya ketika ditemui BH sempena majlis perasmian hari
terbuka dan jualan amal Hospital Sentosa, di sini, semalam.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk negara ini atau
1.8 peratus menghadapi kemurungan, manakala penyakit keresahan adalah
1.7 peratus.
Tahap kemurungan didapati lebih tinggi
membabitkan 2.5 peratus dalam kalangan usia 16 hingga 24 tahun dan
kedua tertinggi membabitkan penduduk berumur 65 tahun ke atas.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr
Chin Zin Hing, berkata pihaknya menghadapi cabaran besar meningkatkan
kesedaran masyarakat terhadap tanggapan menyamakan maksud kesihatan
mental dan penyakit mental.
“Kesihatan mental adalah membabitkan
semua ahli masyarakat berbeza manakala penyakit mental cuma
membabitkan individu tertentu saja,” katanya.
INFO: Risiko kemurungan
•Pelajar melayari laman sosial
facebook selama tiga hingga tujuh jam sehari dibimbangi mengidap
kemurungan pada masa depan.
•Kajian Kesihatan dan Morbiditi
Kebangsaan 2011 menunjukkan hampir 340,000 penduduk negara ini atau
1.8 peratus menghadapi kemurungan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan