KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20121110

N.Sembilan yang tidak mesra pelancong


Ingatkan cuti sempena Deepavali minggu depan hendak bawa keluarga melancong dalam negeri di negeri sendiri. Sambil melancong, mengeratkan kesefahaman keluarga, dapat meningkat ilmu dan menambahkan iman. Tercari-cari mana nak pergi. Teringat di Port Dickson ada Pusat Kaji Bintang terunggul di Malaysia dilengkapi dengan teleskop 609 milimeter yang merupakan antara teropong jauh yang terbesar di Malaysia untuk mencerap bintang, planet, langit dan cakerawala diberi nama Kompleks Baitul Hilal dengan kos projek bernilai RM 30 juta.

Saya pun telefonlah hotel berkenaan yang terletak dalam Kompleks Baitul Hilal, tanya Pusat Kaji Bintang tu buka tak. Jawapannya amat terlalu mengecewakan dan menghampakan. Pekerja hotel berkata Pusat Kaji Bintang tersebut hanya digunakan untuk kajian oleh Universiti Malaya dan tidak dibuka pada hari cuti dan pekerja hotel tu pun tak dapat nak beri maklumat lanjut.

Takkan nak bawa keluarga pergi ke Melaka lagi tengok pusat kaji bintang yang tak sehebat di Negeri Sembilan?

Entahlah apa nak jadi dengan sektor pelancongan di Negeri Sembilan ini. Yang menarik di Port Dickson dan bermanafaat serta berilmu pada saya ketika ini hanyalah Muzium Tentera Darat.

Pusat kaji bintang termoden
23 Mei 2011

PORT DICKSON - Kompleks Baitul Hilal bernilai RM30 juta dekat Teluk Kemang di sini yang dijangka siap hujung tahun ini bakal muncul sebagai pusat kaji bintang termoden di rantau ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kompleks berkenaan yang akan dilengkapi dengan teleskop 609 milimeter merupakan antara teropong jauh yang terbesar di Malaysia untuk mencerap bintang, planet, langit dan cakerawala.

"Kompleks ini akan menjadi pusat rujukan dan penyelidikan penting bagi pelbagai kegiatan seperti melihat anak bulan, kaji bintang dan planet terutamanya bagi menjana pembangunan dan kemajuan ilmu falak.

"Selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, ia akan menjadi pusat astronomi terbaik di rantau ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kompleks itu kelmarin.


Pusat kaji bintang terunggul

PORT DICKSON 21 Mei 2011 - Kompleks Baitul Hilal, Teluk Kemang di sini yang menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam di negara ini bakal muncul sebagai pusat kaji bintang yang terbaik di rantau ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, balai cerap itu akan dilengkapi dengan teleskop 609 milimeter yang merupakan antara teropong jauh yang terbesar di Malaysia untuk mencerap bintang, planet, langit dan cakerawala.

Katanya, ia akan menjadi pusat rujukan dan penyelidikan penting bagi pelbagai kegiatan seperti melihat anak bulan, kaji bintang dan planet terutamanya bagi menjana pembangunan dan kemajuan ilmu falak.

"Selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan canggih, kompleks ini akan menjadi pusat astronomi yang terbaik bukan saja di negara ini malah di rantau ini," katanya kepada para pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kompleks tersebut semalam.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kompleks tersebut di atas tapak yang menempatkan bangunan asal balai cerap yang telah digunakan sejak sekian lama untuk menentukan kedudukan anak bulan bukan saja menepati jadual malah lebih awal dua bulan daripada yang dijadualkan.

Beliau memberitahu, sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang mempunyai 84 bilik serta tiga pangsapuri turut dibina berhampiran balai cerap tersebut sebagai kemudahan kepada para pengunjung dan pelancong.

"Kedudukan kompleks ini yang amat strategik dan menarik membuatkan balai cerap ini dan hotel menjanjikan pemandangan yang indah terutama apabila matahari terbenam.

"Salah satu keunikan yang terdapat di balai cerap ini ialah jam matahari yang akan diletakkan di dataran kompleks tersebut. Jam ini menunjukkan masa berdasarkan perjalanan matahari," ujarnya.

Jelasnya, antara kemudahan yang terdapat di balai cerap setinggi dua tingkat itu ialah dewan yang boleh menampung 200 orang, surau, pejabat, bilik kuliah, bilik mesyuarat dan bilik pameran.

Mohamad berkata, keseluruhan projek tersebut menelan belanja sebanyak RM30 juta yang dijalankan secara usahasama antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

Pembangunan semula Kompleks Baitul Hilal itu dimulakan pada Disember 2009 dan dijangka siap pada November ini.



Tiada ulasan: