Semoga ianya membuka mata semua pihak
agar memberi tumpuan kepada keperluan kritikal semasa, bukan hanya
memainkan sesuatu isu di media untuk kepentingan politik.
Artikel saya mengenai betapa banyaknya
panggilan telefon untuk bertanyakan rumah perlindungan wanita di
http://waghih.blogspot.com/2012/11/ramai-remaja-terlanjur-tapi-tiada-rumah.html
Kewaja: ‘Kami diaibkan’
11 November 2012
KUALA LUMPUR - “Lebih 20 tahun kami
membuat kerja bagi menutup aib pelatih dan keluarga yang bermasalah,
akhirnya kami sendiri telah diaibkan,” kata pengendali dan Pengetua
Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof
apabila pusat perlindungan itu ditutup dan disita oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, kelmarin.
Beliau yang mengusahakan pusat itu
bersama isterinya, Ruzitah Bahrum berkata, laporan media yang
mengatakan 69 penghuni diselamatkan tidak benar sama sekali apabila
Kewaja yang memberi perlindungan kepada mereka.
Menurutnya, pusat jagaan itu selama ini
telah menjadi rumah perlindungan kepada pelatih bermasalah
sehinggakan banyak keluarga merayu untuk menempatkan ahli keluarga di
sini apabila kebanyakan pusat lain tidak boleh menerima mereka.
“Tapi media melaporkan perkara yang
tidak benar dengan membuat fitnah, laporan negatif dan mengaibkan
kami sedangkan Kewaja cuba membantu kerajaan bagi mengurangkan
masalah sosial,” katanya kepada Sinar Harian ketika memperjelaskan
kedudukan sebenar apabila beberapa laporan dianggap berat sebelah
tanpa merujuk kepada Kewaja.
Media semalam melaporkan JKM Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, menyerbu dua rumah teres yang dijadikan
pusat perlindungan wanita di Setapak yang beroperasi tanpa lesen dan
menyelamatkan 69 wanita.
Pengarahnya, Noormah Abdul Rauf
berkata, dalam serbuan tiga jam bermula 10 pagi, pusat itu didapati
menempatkan 69 wanita, berumur antara 14 dan 30 tahun termasuk
seorang bayi berusia lima bulan tanpa mengikut syarat ditetapkan
jabatan itu.
Yahya berkata, apa yang turut
dikesalkan apabila serbuan JKM adalah disebabkan berikutan Kewaja
gagal mendaftarkan pusat berkenaan tetapi media pula telah
mensensasikan laporan yang tidak tepat berhubung perkara itu.
Menurutnya, beliau akur Kewaja telah
melanggar peraturan namun di atas sifat tanggungjawab sosial dan
kebajikan, Kewaja sanggup menerima pelatih bermasalah bagi menutup
aib yang dihadapi oleh keluarga pelatih.
Katanya, Kewaja menjadi destinasi
terakhir dirujuk apabila kebanyakan pusat jagaan seperti ini tidak
dapat menerima mereka tetapi niat baik Kewaja disalah erti beberapa
pihak lain.
“Prinsip Kewaja adalah ingin membantu
dan menyelamat mereka yang tersepit dan apa kaedah sekalipun, Kewaja
akan cuba membantu kerana negara sedang menghadapi masalah sosial.
“Kewaja tidak mampu menolak
permintaan masyarakat sekalipun melanggar peraturan dan
undang-undang. Saya bertawakal walaupun pusat perlindungan ini belum
mendapat sijil sah beroperasi, tetapi pada masa sama, wanita dan
remaja yang bermasalah ini perlu diselamatkan segera,” katanya.
Akur tindakan JKM
Yahya berkata, beliau reda dengan
tindakan penguatkuasaan JKM dan tidak menyalahkan pihak tersebut
kerana menjalankan tugas.
Menurutnya, apa yang terkilan kepada
Kewaja, JKM hadir melakukan serbuan tanpa memaklumkan Kewaja dan
memberi hukuman tanpa memberi bimbingan serta mendidik pusat
perlindungan seperti ini.
“Bagaimanapun, saya tidak akan
mengalah dalam perjuangan ini kerana yakin bahawa Kewaja di pihak
yang benar untuk membantu masyarakat dan pada masa yang sama,
membantu usaha kerajaan membendung gejala sosial,” katanya.
Katanya lagi, cuma kehadiran media
semasa serbuan dilakukan, JKM tidak dapat mengawal wartawan yang
ghairah melaporkan berita sehingga ada laporan disensasikan di luar
jangkauan dan mengaibkan Kewaja kerana mendengar dari satu pihak
sahaja.
Daftar sejak 2003
Yahya berkata, Kewaja telah berusaha
dan mendaftarkan pusat perlindungan ini dari JKM pada 2003 tetapi
tidak berjaya kerana masalah teknikal dan dokumentasi.
Katanya, ada beberapa syarat sukar
untuk dipenuhi dan menyebabkan pusat jagaan ini tidak berjaya dalam
permohonan.
“Saya tak salahkan mana-mana pihak
tetapi sistem yang ada mahukan syarat tertentu dipatuhi.
“Tetapi tempoh 21 hari yang diberikan
oleh JKM akan digunakan sebaiknya untuk memperoleh kelulusan tersebut
kerana pada masa yang sama, golongan bermasalah perlu diberi
perlindungan.
Laporan media berhubung keluarga
membayar yuran sebanyak RM10,000 setahun untuk seorang yang mempunyai
masalah sosial atau sedang mengandung tidak benar sama sekali.
Katanya, Kewaja tidak pernah memaksa
kepada keluarga pelatih membuat bayaran sekiranya tidak mampu dan
masih menerima mereka kerana ramai daripada pelatih yang tidak
membayar yuran.
Rumah jagaan wanita diserbu
10 Nov 2012
Kuala Lumpur: Sebuah pusat jagaan
wanita menempatkan 69 penghuni yang terpaksa berhimpit-himpit dalam
sebuah rumah teres satu tingkat di sini, ditutup kerana beroperasi
secara haram.
Ketika serbuan di Pusat Jagaan
Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) di Jalan Sungai Mulia,
Setapak, rumah itu dihuni 42 wanita mengandung, 19 ibu sedang
berpantang dan 7 penghuni bermasalah serta seorang bayi perempuan
berusia lima bulan.
“Siasatan mendapati, pengusaha pusat
berkenaan beroperasi tanpa lesen, had bilangan penghuni melebihi
keluasan ruang lantai yang dibenarkan, nisbah penjaga dan penghuni,
kawalan dan latihan kepada penghuni selain tidak mempunyai menu serta
jadual aktiviti harian," Noormah Abdul Rauf, Pengarah JKM
Wilayah Persekutuan
Semua wanita itu berusia antara 14
hingga 30 tahun yang sebahagiannya sudah tinggal di situ sejak 11
bulan dan paling baru seminggu lalu.
Penghuni berkenaan mendakwa membayar
RM2,000 sebelum masuk ke pusat jagaan itu dan terpaksa menyerahkan
bayi mereka kepada keluarga angkat dipilih penjaga pusat berkenaan
dengan bayaran tidak diketahui.
Mereka mendakwa hanya dibenarkan
melihat bayi mereka pada hari kelahiran dan hari penyerahan bayi
kepada keluarga angkat.
20 penghuni lapor polis
Serbuan Jabatan Kebajikan Masyarakat
itu berikutan laporan polis lebih 20 penghuni pusat jagaan itu yang
melarikan diri malam Sabtu lalu, di Balai Polis Setapak yang mendakwa
pusat jagaan itu memberi layanan buruk dan tidak membenarkan mereka
menghubungi keluarga.
Pengarah JKM Wilayah Persekutuan,
Noormah Abdul Rauf, berkata premis itu ditutup untuk siasatan lanjut
selepas mendapati pengusaha pusat jagaan itu gagal berdaftar
sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pusat Jagaan
1993.
Katanya, JKM bekerjasama dengan Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta
Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam melaksanakan operasi itu.
“Siasatan mendapati, pengusaha pusat
berkenaan beroperasi tanpa lesen, had bilangan penghuni melebihi
keluasan ruang lantai yang dibenarkan, nisbah penjaga dan penghuni,
kawalan dan latihan kepada penghuni selain tidak mempunyai menu serta
jadual aktiviti harian.
Pusat jagaan tiada lesen
“Berdasarkan keluasan lot rumah tiga
bilik tidur dan satu bilik air itu, pengusaha hanya boleh menempatkan
28 penghuni, namun mereka menempatkan 69 penghuni,” katanya di
sini, semalam.
Noormah berkata, pengusaha premis
terbabit pernah memohon mendapatkan lesen pada 2003, namun gagal
kerana beliau enggan mematuhi peraturan ditetapkan dan pada masa sama
pihaknya memberi saranan apa yang sepatutnya dilakukan bagi
membolehkan lesen diperoleh.
Bagaimanapun katanya, pengusaha premis
enggan bekerjasama dengan pihaknya sebaliknya berkeras meneruskan
operasi pusat jagaan itu.
“Semua mangsa kini ditempatkan di
pusat jagaan sementara di Pandan Indah untuk soal siasat. Sekiranya
mereka mahu pulang ke pangkuan keluarga, kita akan menghubungi ahli
keluarga mereka dan jika sebaliknya, kita akan menempatkan mereka di
lokasi yang sesuai,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan