22 Nov 2012 - Pasukan Bantuan Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) akan ke Gaza
pada 27 November ini bagi menghantar bantuan asas kepada rakyat Palestin yang
menjadi mangsa serangan terbaru Israel.
Bagi tujuan itu, Muslim Care merayu rakyat Malaysia agar
memberikan bantuan kewangan ke Tabung Bantuan Untuk Gaza yang dilancarkannya
bagi meringankan beban rakyat Palestin ketika ini.
Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkefli Mohd Nani
berkata, pihaknya mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM100,000 untuk
membeli keperluan makanan, khemah dan ubat-ubatan untuk rakyat Palestin.
"Pasukan
bantuan akan menyerahkan bantuan kewangan kepada rakan NGO kita di Gaza dan
keperluan asas akan dibeli di sana. Kalau bawa dari sini, lebih banyak kos
diperlukan. Kita ingin salurkan bantuan segera buat masa ini," kata beliau
pada sidang media di Masjid As-Syakirin KLCC hari ini.
Dua wakil Muslim
Care dari Malaysia yang akan ke Gaza ialah bendaharinya, Zulkifli Wahijan dan
exco, Ridhuan Md Noor manakala seorang lagi wakil Muslim Care di United
Kingdom, Alias.
Mereka akan
bergabung dengan beberapa NGO dari negara lain dan akan berada di Gaza selama
tiga hari.
Orang ramai yang
ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank Muslim
Care (Viva Palestin) 5644 902 111 59 atau ke Akaun RHB (Muslim Care) 2621 2000
004747.
Zulkefli juga
berkata, selain bantuan segera ini, Muslim Care turut mensasarkan kutipan RM1
juta bagi membantu rakyat Palestin menjelang awal tahun hadapan.
Tabung-tabung
akan diedarkan ke seluruh masjid di Masjid bagi tujuan derma selain kutipan
derma melalui siri jelajah yang sudah bermula Jumaat lalu.
"Kita akan
cuba sedaya-upaya mencapai satu juta dan penyerahan mob cek akan diadakan di
masjid ini pada malam sambutan tahun baru," katanya.
Turut bersama
pada sidang media tersebut ialah Presiden Muslim Care, Mat Ariffin Ismail,
setiausaha agung, Zakaria Abd Latif dan Ketua Imam Masjid As-Syakirin, Mohd
Saiful Azhar, bekas anggota kumpulan rock XPDC, Zua yang akan menyanyikan lagu
'Gaza Menangis' sepanjang siri jelajah.
Dalam pada itu,
setakat ini sekurang-kurangnya 120 terbunuh dan hampir 900 orang tercedera
melalui lebih 1643 serangan roket yang dilancarkan oleh tentera darat dan laut.
Manakala
sekurang-kurangnya 822 rumah musnah akibat serangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan