KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100113

Yuran sekolah 2010 naik, Melayu patut bersatu

Orang Melayu sepatutnya bersatu memperjuang nasib guru-guru , para pelajar dan ibu bapa. Banyak kesulitan dan rungutan yang timbul akibat kenaikan pelbagai yuran sekolah dan pemotongan perbelanjaan sekolah bermula tahun 2010.

Orang Melayu patut bersatu melalui kesatuan, NGO, PIBG dan lain-lain. Ini bukan isu politiik, ini masalah pembelajaran anak-anak kita. Berapa ramai pelajar yang tak mampu meneruskan pembelajaran kerana miskin ? Berapa ramai pelajar yang bosan ke sekolah kerana peraturan dan persekitaran yang membosankan ? Berapa ramai pelajar yang ponteng sekolah kerana banyak tarikan hiburan di luar sekolah ? Berapa ramai pelajar yang menghidap sakit mental, schizophernia, bipolar disorder dan sebagainya ?

Atau masih lagi berpegang kepada pemikiran : Tak Apa , Anak Orang, Bukan Anak Kita.

************************
Utusan Malaysia 13 Jan 2010

Kaji semula arahan kurangkan peruntukan makanan di asrama

JERANTUT 12 Jan. - Dua kesatuan guru mengesa kerajaan mengkaji semula arahan yang dikeluarkan kepada pihak sekolah tahun lalu, meminta mereka mengurangkan jumlah hari peruntukan makanan bagi sekolah berasrama.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Arsad berkata, sebilangan besar ibu bapa mengeluh kerana peraturan itu memaksa pelajar pulang ke rumah setiap minggu kerana asrama tidak lagi menyediakan makanan setiap Sabtu dan Ahad.

''Senario ini memberi tekanan kepada pelajar apabila masa dan tenaga mereka terbuang kerana berulang- alik ke rumah terutama bagi yang tinggal jauh di pedalaman.

''Ia juga membebankan ibu bapa kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan membayar tambang pulang ke rumah setiap minggu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas pekeliling tahun lalu mengenai pengurangan peruntukan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 250 hari bagi sekolah pendidikan khas berasrama berbanding 270 hari sebelumnya.

Peraturan itu juga melibatkan ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas yang perlu membayar sebanyak RM3 sehari, manakala yang berpendapatan bawah RM4,999 pula RM1 sehari.

Arahan itu meliputi asrama di sekolah harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan dan seni.

Dalam hal ini, Mohd. Sabri bimbang masalah disiplin mungkin meningkat kerana pelajar ada ruang melakukan perkara buruk di luar pengetahuan ibu bapa dan sekolah pada setiap hujung minggu.

''Pelajar yang tinggal jauh akan mengemukakan pelbagai alasan seperti menumpang di rumah kawan dan mungkin terlibat dalam gejala sosial di luar asrama," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KGGLMSM), Jemale Paiman berkata, kebenaran keluar pada hujung minggu untuk mendapatkan makanan boleh menjejaskan pembinaan sahsiah dan akademik pelajar.

Sebelum ini, jelas beliau, pelajar boleh mengikuti pelbagai kegiatan bermanfaat di asrama seperti kelas tambahan atau kokurikulum pada hujung minggu.

''Menerusi peraturan ini, pihak sekolah telah membataskan semua program kecemerlangan akademik dan sahsiah untuk menjimatkan perbelanjaan makan di asrama kerana tiada peruntukan mencukupi.

''Langkah ini juga membantutkan usaha meningkatkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan modal insan pelajar terutama di kalangan yang cemerlang dalam peperiksaan," katanya.

Tegasnya, peraturan itu bertentangan dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang antara lain bermatlamat mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah dan tinggi.

KGGLMSM, menurutnya, turut prihatin dengan nasib pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mungkin tidak mampu ke sekolah berasrama ekoran dikenakan bayaran tambahan.

Tiada ulasan: