KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051230

Hukum Peraduan Teka Kacang Di Rembau

Sambutan Tahun Baru 2006 di Rembau selama 4 hari bermula 28 Dis hingga 31 Dis akan diadakan Peraduan Teka Kacang, dimana untuk setiap tekaan akan dikenakan bayaran RM 5 dan hadiah utamanya ialah sebuah kereta Kancil. Apa yang di teka tidak dapat dipastikan, cuma pada kebiasaannya ialah meneka berapa banyak jumlah kacang dalam satu balang.

Saya bertanyakan kepada beberapa orang ustaz mengenai hukum peraduan teka kacang yang sedemikian. Semua mereka menjawab ianya ada unsur judi melainkan kalau diubah syaratnya iaitu sesiapa sahaja boleh menyertai peraduan tersebut tanpa bayaran, atau mereka yang membeli barangan yang melebihi jumlah tertentu layak menyertai peraduan tersebut.

Terakhir saya bertanya kepada Us Syafie di Jabatan Mufti N.Sembilan, dimana beliau memberi pendapat yang sama. Justeru itu saya berharap agar mereka yang lebih arif dalam bidang hukum hakam ini agar dapat menasihati kepada penganjur sambutan tahun baru 2006 di Rembau agar mengubah sedikit syarat peraduan teka kacang tersebut untuk mengelakkan kita semua bersubahat dalam unsur perjudian ini, melainkan ada pendapat lain yang mengatakan ianya dibenarkan.

BERITA HARIAN 27 Dis 2005

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/EdisiTengah/20051227092924/Article/

Teka kacang ambang 2006 dapat Kancil

REMBAU: Orang ramai yang mengunjungi majlis sambutan Rembau D' Ambang 2006 yang diadakan selama empat hari bermula esok di Dataran Rembau, Padang Majlis Daerah Rembau berpeluang memenangi sebuah kereta Perodua Kancil bernilai RM27,000.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Rembau D' Ambang 2006, Abdul Aziz Lamin, berkata hadiah kereta Kancil itu ditawarkan menerusi peraduan "Teka Kacang" yang turut menawarkan pelbagai hadiah sampingan lain.

Beliau berkata, mereka yang ingin mencuba nasib menyertai peraduan itu akan dikenakan bayaran RM5 bagi setiap percubaan.

Katanya, majlis sambutan itu yang turut menyediakan pelbagai acara menarik seperti pesta sukan rakyat, ekspo usahawan, persembahan kebudayaan, forum perdana, senamrobik, konsert 60-an dan kejohanan futsal dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chembong, buat julung kali.

"Antara matlamat majlis sambutan ini ialah meningkatkan persefahaman, kerjasama dan silaturahim di kalangan rakyat berbilang kaum di daerah ini," katanya.

Abdul Aziz berkata, acara kemuncak majlis itu ialah mengira detik sempena sambutan tahun baru dan pertunjukan bunga api yang dijadual bermula jam 9 malam, Sabtu ini.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Mohamad Rais Zainuddin yang juga Adun Chembong akan turut serta bersama orang ramai mengira detik tahun baru itu.

Orang ramai yang berminat menyertai pelbagai program yang diadakan itu boleh menghubungi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Chembong di Rumah Umno Rembau atau Pejabat Pengerusi Jawatankuasa, Tenaga, Air dan Komunikasi di Wisma Negeri, Seremban.