KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051219

Perlu ada prosedur bertulis untuk melindungi anggota polis

Polis menjadi mangsa luahan perasaan sekali lagi. Disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Seekor kerbau yang membawa lumpur, habis semuanya terpalit.

Yang menjadi mangsa ialah kebanyakan anggota polis yang masih ikhlas menjalankan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dengan motonya Mesra, Cepat dan Betul.

Justeru itu kepentingan anggota-anggota polis yang menjalankan tugas haruslah dilindungi agar mereka tidak terperangkap dengan sistem perundangan yang mencabar dewasa ini. Arahan lisan sering boleh dipertikaikan dan membawa seribu satu macam pengertian sekiranya ianya tidak diiringi dengan arahan secara bertulis. Justeru itu untuk mengelakkan ramai pihak yang malu akibat isu ketuk ketampi oleh tahanan reman polis tempoh hari satu peraturan yang khusus haruslah dirangka untuk melakukan pemeriksaan terhadap tahanan.

Sekiranya ketuk ketampi adalah satu cara yang lazim dilakukan, ianya hendaklah diwartakan dengan jelas. Berapa kali ketuk ketampi harus dilakukan, bagaimana caranya, memegang atau tidak memegang telinga, kalau yang mengandung bagaimana ? Kemudian bilik dimana tahanan diarahkan untuk membuka pakaian hendaklah dijelaskan keadaannya samada bilik konkrit, bilik yang tidak mempunyai tingkap berkaca, bilik yang tidak mempunyai cermin ? Kemudian pula haruslah diadakan peraturan agar peguam, pelawat bahkan anggota polis sendiri tidak dibenarkan membawa kamera serta talipon berkamera dalam kawasan lokap dan sebagainya.

Segala peraturan ini haruslah dibuat untuk tatapan umum agar membuktikan ketelusan pihak polis menjalankan tugas mereka disamping menanamkan budaya agar masyarakat Malaysia ini memahami sistem perundangan negara sebelum membuat sebarang tuduhan kepada pihak polis.

Berikut ialah prosedur terperinci bagaimana untuk melakukan pemeriksaan terhadap tahanan yang boleh didapati dengan mudah oleh orang awam melalui laman web Jabatan Pemulihan New Zealand ( New Zealand Department Of Corrections)
http://www.corrections.govt.nz/public/policyandlegislation/ppm/sectionb/b15/b1501r5.html

Antara prosedur yang menarik perhatian yang terdapat dalam peraturan melakukan pemeriksaan terhapap tahanan ialah :

1. Apabila pakaian ditanggalkan oleh tahanan, samada menaikkan, menurunkan atau membuka pakaian, untuk memeriksa tahanan tidak menyembunyikan senjata. TAHANAN YANG DIPERIKSA MESTILAH DIPASTIKAN MEMPUNYAI PAKAIAN YANG MENUTUP LEBIH DARIPADA SEPARUH BADANNYA PADA BILA-BILA MASA MELAINKAN DALAMKEADAAN YANG BENAR-BENAR MUNASABAH. (Lihat bagaimana prihatinnya undang-undang ini menjaga kehormatan manusia walaupun mereka adalah merupakan tahanan)

2. Ketika melakukan pemeriksaan, tahanan yang diperiksa boleh diarahkan untuk, membuka mulut, menunjukkan tapak tangan, menunjukkan tapak kaki, mengurai rambut, mengangkat tangan untuk menunjukkan ketiak.

Selamat Membaca

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS
rozmal@yahoo.com
Laman web : waghih.blogspot.com