KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051218

Kembalikan Martabat Bangsa Melayu Yang Tercalar

Berikut ialah resolusi Kongres Kepentingan Bangsa yang diadakan 16-17 Dis 2005 di Universiti Teknologi Malaysia KL yang dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah Ahli Parlimen Barisan Nasional Gua Musang dan dihadiri dihadiri lebih 1200 orang mewakili lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Sila baca berita penuh dalam Mingguan Malaysia 18 Dis 2005 mukasurat 2. Bersamalah kita mempastikan agar resolusi ini dilaksanakan bukan sekadar retorik semata-mata.

Antara 29 perkara resolusi dalam kongres secara sebulat suara menggesa kerajaan:

* Mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, iaitu mengembalikan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik. Pada masa sama mempertingkatkan pengajaran Bahasa Inggeris.

* Mengembalikan semula peruntukan geran perkapita Sekolah Agama Rakyat supaya ia dapat berfungsi seperti asal bagi mengembangkan pendidikan aliran agama.

* Memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) secara tuntas kerana ia mewujudkan suasana yang tidak sihat bagi pertumbuhan dan kecerdasan minda serta kebebasan berfikir di kalangan ahli akademik dan mahasiswa.

* Mengambil usaha mempertahankan tanah orang Melayu/ Rizab Melayu di seluruh negara.

* Menjadikan Petronas berperanan sebagai agensi penjana yang bertanggungjawab melahirkan usahawan Melayu dalam bidang gas dan minyak.

* Memperkenalkan Akta Makanan Halal supaya industri makanan halal berkembang di kalangan orang Melayu Islam.

* Dasar Kebudayaan Kebangsaan diperundangkan dalam bentuk Akta seperti Dasar Bahasa dan Dasar Pendidikan.

* Menyubur dan menerapkan kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam dalam pentadbiran, pendidikan dan lain-lain bidang.

* Penginstitusian zakat dilakukan mengikut proses undang-undang.

Resolusi tersebut dibaca oleh Dr Muhammad Nor Manuti dan diserahkan kepada Pengerusi Kongres, Tengku Razaleigh Hamzah.