KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051220

Khairy, selami sejarah pejuang bangsa daripada Rembau

Kepada Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Kawasan Rembau merangkap Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Apa khabar saudara ku? Mari kita selami sejarah pejuang bangsa Melayu di Rembau ini yang memperjuangkan hak orang Melayu secara keseluruhannya sebelum wujudnya UMNO, sebelum adanya PAS. Agar dapat kita sama-sama kembali memartabatkan bangsa Melayu mengikut acuan Islam tanpa mengenepikan hak serta kepentingan bangsa Cina, bangsa India dan lain-lain bangsa di Malaysia ini.

Artikel ini dipetik daripada buku yang bertajuk “The Malay Nationalism Before UMNO” – Nasionalis Melayu Sebelum UMNO terbitan Utusan Publications yang terdapat dilaman web Malaysia Today http://www.malaysia-today.net/books/2005/12/16-early-politics-nationalists-of-my.htm

Beliau ialah Datuk Abdullah Bin Haji Dahan, Undang Rembau.

Anak kepada seorang Datuk di Negeri Sembilan, Abdullah mulanya belajar di sekolah Melayu kemudian lulus peperiksaan Senior Cambridge dengan cemerlang di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Antara ahli Majlis Persekutuan yang dilantik, beliau adalah yang paling lantang, terutamanya memperjuangkan hak-hak orang Melayu. Dia pernah secara terbuka mempersoalkan Inggeris yang melantik bukan Melayu di Jabatan Kerajaan. Pihak Inggeris menjawab, "Kerana tiada orang Melayu yang berpelajaran Inggeris”. Sebenarnya adalah polisi Kerajaan British untuk tidak menggalakkan orang Melayu masuk ke sekolah aliran Inggeris sejak dari mula lagi.

Datuk Abdullah berjuang untuk kepentingan Melayu. Beliau menggesa agar Inggeris memberikan lebih peruntukan untuk Tanah Rezab Melayu dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada Melayu di jabatan kerajaan yang dimonopoli oleh bangsa asing, seperti Keretapi Tanah Melayu, Telekom dan Jabatan Kerja Raya. Beliau mengakui ramai orang Melayu yang bekerja di peringkat bawahan, tapi bagaimana dengan jawatan kanan seperti Ketua Stesen ? Kenapa orang Melayu tidak diberi kepercayaan untuk memikul lebih tanggungjawab ?

Apabila Zaman Kemelesetan berlaku pada tahun 1929, pihak British memberhentikan ramai pekerja, Datuk Abdullah memberi amaran kepada British “jangan sentuh” pekerja Melayu. Dari cadangan tersebut pendatang asing harus dibuang kerja terlebih dahulu, dia pada ketika itu, tidak begitu disukai oleh pendatang Cina dan pendatang India.

Datuk Undang Rembau adalah orang yang berani, lantang dalam tahun 1920an dan 1930an, ketika tiada siapa yang berani bersuara terhadap orang Inggeris.

Datuk Undang Rembau akhirnya dikeluarkan daripada Majlis oleh pihak British atas alasan beliau menderita penyakit saraf. British akhirnya berjaya membuang duri dalam daging mereka.

Datuk Abdullah juga adalah merupakan salah seorang daripada empat orang Raja-Raja Melayu yang menubuhkan Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada pejuang-pejuang bangsa seperti Datuk Abdullah.
Al Fatihah.

Rozmal bin Malakan
Cicit Datuk Abdullah bin Hj Dahan
Suku Lela Maharaja (Suku Dato’ Sedia Raja)
Kg Tanjung, Rembau, N.Sembilan
rozmal@yahoo.com
waghih.blogspot.com