KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051207

Tahniah BN, menang DUN Pengkalan Pasir

Assalamualaikum wrt wbt ,

Terlebih dahulu tahniah diucapkan kepada Barisan Nasional yang telah memenangi DUN Pengkalan Pasir, Kelantan. Mereka memang layak memenanginya (they deserve the win) setelah berusaha bersungguh-sungguh. Menang tetap menang walaupun dengan majoriti yang sedikit, kerana itu adalah adat pertandingan.

Semoga usaha membela rakyat di Pengkalan Pasir dapat diteruskan.

Kepada rakan-rakan seperjuangan saya daripada PAS, jangan berputus asa. Menang atau kalah, perjalanan kita masih jauh, namun masa semakin singkat untuk kita menyelamatkan diri kita dan ahli keluarga kita daripada api neraka. Sebelum menyalahkan pihak lain , perhatikan dahulu kelemahan kita, penyusunan strategi, kesungguhan ahli, komitmen penyokong dan sebagainya.

Kepada kenalan saya dari UMNO terutama Pemuda di DUN Paroi , DUN Chembong, DUN Rantau, DUN Kota, Parlimen Rembau, jangan lari daripada perjuangan membela nasib agama dan bangsa. Terlalu banyak perkara yang boleh kita tangani bersama, daripada masalah penyelewengan akidah, pengangguran, penagihan dadah, sumbang mahram, rasuah dan banyak lagi. Masalah ini insyaAllah boleh diselesaikan jika kita mahu menyelesaikannya.

Kepada orang kampung saya Sdr Khairy Jamaludin, setelah menabur bakti di Pengkalan Pasir, jenguk-jenguklah waris di Kg. Gadong , Rembau yang susah-susah. Berikanlah anak-anak mereka bantuan pakaian, bantuan beg sekolah, bantuan basikal, bantuan buku sekolah, bantuan makan minum menjelang bukanya penggal persekolahan baru tahun 2006.

Tengok-tengoklah juga anak-anak muda di kampung tu yang sedang melepak agar tidak terjebak dalam gejala dadah, gejala Black Metal dan sebagainya. Tengok-tengoklah juga masjid-masjid kat Rembau ni yang rata-ratanya lengang tinggal beberapa kerat orang tua yang memakmurkannya. Jenguk-jenguklah juga graduan yang menganggur yang sekadar bekerja sebagai pembantu kedai atau pembantu klinik di Senawang ini. Mereka ahli Puteri UMNO.

Salam perjuangan untuk rakan dalam PAS dan kenalan dalam UMNO.

Wassalam.

Rozmal bin Malakan
Ketua Penerangan PAS Kawasan Rembau
rozmal@yahoo.com
waghih.blogspot.com