KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051216

Kaunseling Percuma MAINS untuk selesaikan masalah sosial

Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam N.Sembilan (MAINS)

Jenis Perkhidmatan:
Kaunseling Individu, kaunseling kelompok, skim panel kaunselor, perundingan/konsultasi, khidmat nasihat perundangan enakmen kekeluargaan Islam, pembentangan kertas kerja/seminar/kursus dan penceramah program berkaitan.

Kaunselor: Nor Azman Amat (Ketua), Mahadi Ali, Fadilah Mohamad (Seremban), Wan Aminuddin Wan Abdullah, Zana Ruslinda Ujang, Che Rozita Che Rahman (Tampin) dan Abdul Ghani Sulaiman dan Norlim Mohd Yusof, Che Som Omar (Bahau).

Waktu Operasi: Isnin - Jumaat: 10 pagi-5 petang.

Kaedah perkhidmatan: temujanji, walk-in, tele-kaunseling, surat, sistem rekod data peribadi, surat rasmi.

Telefon: Seremban (06-7679905), Tampin (06-4433050), Bahau (06-4553067).

Pusat Kaunseling Mains
Pusat Utama: Tingkat 3 Terminal One Seremban. Mula beroperasi 1998. Jumlah sesi kaunseling sehingga November 7,000.
Cawangan Kedua: Pekan Tampin - mula beroperasi Februari 2002. Jumlah sesi kaunseling sehingga November 1,619.
Cawangan Ketiga: Pekan Bahau - mula beroperasi Ogos 2005. Jumlah sesi kaunseling sehingga awal Disember 35.

Berita Harian 15 Disember 2005

Kaunseling Mains berkesan - Oleh Mohd Amin Jalil

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/EdisiTengah/20051216104039/Article/

SEREMBAN: Ramai remaja di Negeri Sembilan yang terjebak dalam gejala sosial, berubah kepada personaliti lebih positif selepas mendapatkan khidmat kaunseling Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

Selain itu, mereka yang menghadapi masalah rumah tangga juga berjaya dipulihkan selepas mendapat kaunseling daripada pakar, sekali gus membahagiakan kembali kehidupan bersuami isteri. Pusat yang beroperasi di tiga tempat iaitu di Terminal One di sini, Tampin dan Bahau itu menyediakan khidmat pakar kaunseling percuma untuk semua peringkat masyarakat tanpa mengira agama.

Ini diakui Ketua Kaunselor Mains, Nor Azman Amat. Hasil maklum balas yang diperoleh, perkhidmatan yang diberikan pusat itu amat berkesan dan banyak masalah yang dikemukakan berjaya diatasi. Pelbagai masalah dikemukakan seperti remaja terlanjur, sengketa antara suami dan isteri, keretakan rumah tangga dan perceraian.

"Ada individu yang mendapatkan perkhidmatan itu melebihi sekali bergantung kepada hasil penyelesaian dan kesediaan mereka untuk berubah," katanya di sini. Sambutan orang ramai amat menggalakkan kerana perkhidmatan yang diberikan menyeluruh dengan kaunselor turut bertindak sebagai motivator.

Ramai juga kalangan pelajar, pekerja industri dan remaja mendapatkan khidmat nasihat terutama dalam memilih kerjaya bersesuaian. "Perkhidmatan yang kami berikan ini adalah untuk membantu masyarakat dari aspek kebajikan, selain kebuntuan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi," katanya.

Orang ramai tidak harus bimbang kerana setiap masalah yang diajukan kepada pusat ini dirahsiakan. “Perkhidmatan yang diberikan untuk kepentingan masyarakat terutama membantu kerajaan mengurangkan kadar gejala sosial. Sehingga kini lebih 9,000 sesi kaunseling dikendalikan sejak pusat itu beroperasi pada 1998," katanya.

Selain membantu masyarakat, objektif utama pusat itu ialah menyampaikan dakwah secara menyeluruh dan berkesan melalui kaedah kaunseling, membentuk dan membimbing ummah yang dinamik dan progresif serta sentiasa mencari keredaan Allah serta memperbanyakkan usaha kebajikan dan mencegah kemungkaran melalui kaunseling.

Pusat itu turut mengadakan beberapa kursus berkaitan ketrampilan diri, kecemerlangan peribadi, kemahiran keibubapaan, komunikasi berkesan dan pembimbing rakan sebaya. Kegiatan itu hasil kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan pihak swasta yang ingin terbabit sama selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Matlamat kami adalah menjadikan pusat kaunseling unggul dalam perkhidmatan kaunseling di negara ini," katanya.