KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051207

JAKIM perlu ada Pasukan Petugas Khas Siber

Baru-baru ini rakyat dikejutkan dengan serbuan ke atas Konsert Black Metal yang diadakan di bandar Seremban. Ini adalah kerana terdapat segelintir peminat fanatik musik Black Metal ini yang terlalu taksub sehingga terpesong akidah mereka apabila mereka melakukan perbuatan yang menghina agama seperti memijak Al Quran. Kumpulan kecil Black Metak yang ekstrim ini bukan hanya menghina agama Islam, malah mereka ini menghina semua agama samawi, dimana ada yang memakai salib dengan diterbalikkan, dan mereka memuja syaitan.

Akan tetapi ramai di kalangan anak muda yang meminati lagu irama Black Metal ini hanya sekadar mendengarnya sahaja, bukannya terikut-ikut dengan budaya yang terpesong dan menyesatkan. Namun begitu jika budaya ini tidak dikawal dan dipantau, maka apa yang akan terjadi ialah timbulnya serpihan kecil seperti kumpulan Jangan Ikut Tuhan (JIT). Adalah tidak wajar jika masyarakat memandang serong kepada semua peminat muzik Black Metal tanpa terlebih dahulu memahami apa yang terkandung dalam hati sanubari jiwa mereka yang kosong itu.

Oleh yang demikian pihak yang bertanggungjawab haruslah memberi panduan kepada peminat muzik Black Metal ini agar mereka tidak terpesong daripada akidah Islam. Mana tahu mungkin satu hari nanti akan ada anak muda yang berpakaian sopan yang akan mendendangkan nasyid dengan berentakkan irama Black Metal, seperti mana anak muda di Amerika sekarang ini yang menyanyikan nasyid dalam rentak rap.

Berbalik kepada cadangan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar dapat membentuk satu Pasukan Petugas Khas Siber (Task Force) yang boleh memantau sebarang kegiatan jenayah syariah atau maksiat yang disebarkan secara meluas melalui internet sekarang ini. Tangkapan yang dilakukan keatas pengikut-pengikut Black Metal di Seremban tempoh hari membuktikan pihak berkuasa agama kita jauh ketinggalan dalam mengikuti peredaran zaman di dunia serba canggih terutamanya dengan adanya perkhidmatan internet. Menurut laporan akhbar, pihak berkuasa hanya menyerbu tempat tersebut hanya setelah mendapat maklumat daripada orang ramai pada hari tersebut,

Walhal setelah membuat sedikit carian di internet iklan konsert bercirikan Black Metal tersebut telah lama tersiar di internet, bukan setakat di Seremban sahaja , malah boleh dikatakan di seluruh negara. Dan konsert yang diadakan di Seremban bukan pertama kali diadakan di tempat yang sama.

Sekiranya pihak berkuasa agama mengetahui maklumat ini dengan lebih awal, maka sudah pasti pihak penganjur akan memastikan bahawa mereka akan menganjurkan konsert mengikut peraturan yang dibenarkan. Jika tidak sudah pasti pihak penganjur tidak dapat mengawal segelintir kecil peminat Black Metal yang ekstrim, seperti mana kata pepatah “Seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit”.

Begitu juga dengan beberapa kes jenayah syariah siber sebelum ini yang boleh dikatakan tiada pemantauan dan kawalan daripada JAKIM, seperti laman web lucah dalam Bahasa Malaysia, laman web pengalaman penagihan dadah oleh rakyat Malaysia dan lain-lain laman web yang mendatangkan kesan negatif bukan hanya kepada umat Islam malah kepada rakyat Malaysia secara umumnya. Hanya setelah dibuat pendedahan di dalam akhbar oleh individu tertentu yang tiada kaitan dengan pihak berkuasa barulah pengendali laman web tersebut memadam isi kandungan yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Ini memberikan gambaran kepada mereka yang ingin menyebarkan maklumat yang tidak sihat di internet bahawa pihak kerajaan terutamanya pihak berkuasa agama seperti JAKIM tiada pasukan yang memantau akan isi kandungan yang tersebar di internet.

Justeru itu cadangan supaya JAKIM menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk membendung jenayah syariah di internet haruslah diberi pertimbangan yang sewajarnya bukan setakat untuk membentuk masyarakat Islam di Malaysia ini dengan tamaddun Islam bahkan untuk memberi imej bahawa pihak berkuasa agama seperti JAKIM juga mengikuti peredaran zaman yang serba canggih ini. Juga Pasukan Petugas ini haruslah mempunyai e-mel yang aktif agar orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada JAKIM untuk mereka melakukan siasatan dan mengambil tindakan, dan bukan hanya mengharapkan pendedahan di dada akhbar semata-mata untuk bertindak “Sudah terhantuk baru nak terngadah”.

Rozmal Malakan, Senawang
rozmal@yahoo.com
waghih.blogspot.com