KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051204

Kalau nak bantuan, pembelaan, doakan wakil rakyat mati

“Kalau nak bantuan, pembelaan, doakan wakil rakyat mati” ; kenyataan ini boleh dikira agak kasar dan mungkin terpesong. Namun itulah hakikatnya. Kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir membuktikan kebenaran kata-kata diatas.

Lihat sahaja sekeliling kita, jiran-jiran kita , sanak saudara kita yang miskin dan merempat. Atau mungkin kita tidak mengenali orang susah dikalangan jiran tetangga kita atau sanak saudara kita kerana kita sibuk mengumpulkan harta, sibuk membesarkan rumah, sibuk mencari kereta model terbaru yang orang lain belum miliki, sibuk merebut jawatan Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan. Maka kita tidak tahu siapa dikalangan jiran tetangga dan sanak saudara kita yang merempat, tahu-tahu muka mereka keluar dalam rancangan Bersama Mu TV3 atau dalam dada-dada akhbar.

Sekiranya kita banyak terlibat dalam kerja kebajikan, sering didatangi orang yang meminta bantuan, maka ada juga terlintas jauh didalam hati, kalau begini ramainya orang yang memerlukan bantuan tetapi tidak tahu ke mana hendak dipanjangkan hajat mereka, alangkah bagusnya jika wakil rakyat ditempat kita ini mati. Kerana jika ada wakil rakyat di tempat kita yang mati, maka akan adalah pilihanraya kecil. Sepertimana apa yang berlaku di Pengkalan Pasir , Kelantan.

Alangkah bagusnya menteri-menteri besar daripada serata negeri di negara kita ini datang ke teratak usang kita, meredah air banjir, bertanyakan khabar serta menghulurkan bantuan.

Alangkah bagus lagi mereka yang sakit selama ini tidak mampu untuk mendapatkan rawatan, datang doktor-doktor ke rumah mereka merawat mereka tanpa mengenakan bayaran, bahkan dihulurkan lagi bantuan kepada pesakit. Dan doktor-doktor yang datang pula bukan sekali malah semua parti menyediakan perkhidmatan doktor baik daripada parti pemerintah mahu pun parti pembangkang.

Tambahan pula sekolah akan buka sekarang ini, dapatlah pula pelajar-pelajar miskin memilikki basikal baru, beg baru, pakaian sekolah baru dan kasut sekolah baru.

Sekiranya beginilah mentaliti rakyat di negara ini dibiasakan, maka jangan hairan satu hari nanti bahawa rakyat daripada berbilang bangsa dan agama terutamanya mereka yang hidup merempat, miskin lagi fakir akan sentiasa berdoa bilalah wakil rakyat ditempat mereka akan mati, supaya kesusahan mereka akan dapat didedahkan semasa kempen pilihanraya kecil.

Malah penyakit ini boleh merebak dikalangan ahli kariah masjid, kerana jika selama ini atap surau dan masjid yang bocor tiada peruntukan untuk dibaiki, maka melalui pilihanraya kecil sahajalah peruntukan untuk membaik pulih masjid serta surau akan disegerakan.

Bagi para peniaga jalanan terutamanya peniaga-peniaga Melayu yang sering gerai-gerai mereka dirobohkan atas alasan mengganggu lalu lintas, mengotorkan sistem perparitan dan sebagainya, mereka juga akan berdoa agar wakil rakyat dikawasan mereka mati, agar keluhan mereka untuk mendapat tapak berniaga akan diberi pembelaan.

Maka hendakkah kita meneruskan tradisi ini ? Apakah di negara barat dan negara maju dan Malaysia yang akan menuju negara maju menjelang tahun 2020, rakyatnya masih lagi berfikiran sebegini ?

Dan wakil-wakil rakyat serta ahli-ahli parlimen, tenangkah hidup mereka apabila rakyat yang mereka wakilkan terutama daripada golongan yang susah, miskin, fakir dan merempat sentiasa mendoakan agar diadakan segera pilihanraya kecil di tempat mereka supaya nasib mereka mendapat pembelaan ?

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS