KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160315

Kesal khazanah sejarah terbiar



Kesal khazanah sejarah terbiar
14 Mac 2016



KOTA – Empat meriam lama yang dipercayai milik Datuk Shahbandar pada zaman dahulu kala, di Kampung Nerambai, Lubok China, di sini kini terbiar begitu sahaja sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Rozmal Malakan berkata, dia hanya mengetahui terdapat khazanah bersejarah bernilai tinggi di lokasi berkenaan sebaik diberitahu penduduk setempat setelah menjalankan program meraikan asnaf bersama DBS Bikers minggu lalu.

Menurutnya, khazanah yang mempunyai nilai sejarah buat negeri ini khususnya daerah Rembau wajar diberikan perhatian, dipulihara serta diwartakan bagi memastikan keistimewaan khazanah berkenaan dapat dikongsi bersama generasi akan datang.

“Sebaliknya, khazanah berupa empat meriam lama di kampung ini seolah-olah telah dipinggirkan dan dilupakan begitu sahaja.  Mengikut cerita yang dimaklumkan penduduk, khazanah ini milik Datuk Shahbandar yang datangnya dari Melaka selepas Melaka diserang Portugis.

“Jadi memang menjadi harapan kami agar khazanah sejarah seperti ini dapat dipulihara dan sejarahnya dikumpul serta didokumentasikan buat perkongsian dengan masyarakat setempat dan generasi akan datang,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Rozmal berkata, khazanah bersejarah seumpama itu mampu untuk menyemarakkan lagi sektor pelancongan memandangkan orang luar sering mencari khazanah seperti ini sebagai bahan kajian mereka.

Katanya, penempatan yang mempunyai khazanah seperti ini selalunya menyimpan banyak sejarah silam kehebatan bangsa kita sendiri yang harus dibuat kajian.

“Malah, kita harap agar khazanah bersejarah seperti ini juga dapat dijaga dengan baik dan tidak sesekali dicuri dan dijual bagi mendapatkan keuntungan.

“Oleh itu, kita harap agar pihak bertanggungjawab dapat memulihara kembali khazanah sejarah ini dan memastikan lokasi ini tidak terbiar lagi," katanya.

Tiada ulasan: