KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20160322

Tadah air hujan dengan besen



Tadah air hujan dengan besen
22 Mac 2016



KUALA PILAH – “Bila hujan je, besen dan kain diletakkan merata-rata tempat untuk takung air,” kata penghuni rumah pusaka lebih 100 tahun, di Kampung Bemban, Faudziah Mohd Sharif, 54.

Faudziah berkata, rumah pusaka itu pernah diganti bumbungnya pada tahun 1962 semasa ibu bapanya masih hidup.

Namun, setelah pemergian mereka, kata Faudziah, rumah itu kini dijaga mereka enam beradik.

“Saya anak bongsu, masih bujang, manakala kesemua kakak telah mendirikan rumah tangga dan telah berpindah ke tempat lain.

“Tapi mereka selalu pulang kerana bimbangkan keselamatan saya yang tinggal seorang diri. Kami enam beradik memang telah berbincang untuk membaik pulih bumbung, namun kosnya terlalu mahal.

“Kami tak mampu dan hanya berharap bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya yang menghidapi diabetes dan tidak bekerja.

Menurutnya, keadaan bumbung rumah itu semakin usang dan terlalu banyak kebocoran, sekali gus perlu diganti.

“Saya tiada pilihan lain kerana ini sajalah tempat tinggal yang ada untuk berteduh.

“Kayu-kayu dinding yang ada juga perlu diganti kerana dah mula reput dimakan anai-anai,” katanya.

Tambah Faudziah, dia mula menetap di kampung itu selepas berhenti kerja di Seremban pada 2012.

“Saya dah berusia dan tak larat bekerja. Jadi, saya ambil keputusan pulang ke kampung halaman dan memelihara rumah pusaka ni.

“Permohonan baik pulih bumbung telah dimohon terlebih awal kepada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) pada 2008. Pihak terbabit ada datang lihat rumah pada 2009, namun waktu tu saya tiada di rumah kerana bekerja di Seremban.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Bemban, Ibrahim Taeh ketika dihubungi berkata, permohonan Faudziah telah dimasukkan dalam senarai bantuan baik pulih bumbung pada tahun lalu.

“Seramai 10 penduduk Kampung Bemban termasuk Faudziah telah terpilih untuk menerima bantuan itu.

“Bagaimanapun, bantuan yang disalurkan Felda itu dikatakan masih belum ada peruntukan. Jadi, saya harap pemohon bersabar sementara menunggu peruntukan,” katanya.

Tiada ulasan: