Macamana murah sangat pampasan tanah yang diberi kerajaan untuk projek landasan kereta api berkembar Seremban Gemas ? Di N.Sembilan pampasannya ialah minima RM 1.20 sekaki persegi, tapi di Melaka ialah minima RM 7.00 sekaki persegi.
Ini bermakna orang Negeri Sembilan dapat pampasan ciput, iaitu RM 52,272.00 untuk tiap satu ekar, tapi di Melaka RM 304,920.00 untuk tiap ekar.
Adakah kerana di N.Sembilan nilaiannya terlalu rendah atas faktor Tanah Adat Perpatih ? Atau adakah kerana tanah di N.Sembilan ini berkasta rendah ?
Apa beza orang di N.Sembilan dan orang Melaka ? Dua-dua Melayu, dua-dua darah warna merah.
Orang Negeri Sembilan, lu fikirlah sendiri , kenapa tanah kita ni terlalu mudah untuk diambil kerajaan dengan harga yang teramat murah berbanding dengan Melaka.
************************
Sinar Harian 17 Jan 2010
60 penduduk bantah nilai pampasan tanah
PULAU SEBANG - Kira-kira 60 penduduk di Kampung Kuala Ina di sini, membantah nilai pampasan yang ditawarkan kerajaan Negeri bagi pembinaan projek landasan kereta api elektrik berkembar dari Seremban ke Gemas, semalam.
Mereka mendakwa nilai ditawarkan bagi setiap kaki persegi tanah yang diambil terlalu rendah dan tidak setimpal dengan projek pembangunan bertaraf komersial itu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi pemilik-pemilik tanah membabitkan keluasan kira-kira enam hektar, Abu Samah Abu Kaseh berkata, nilai tanah yang ditawarkan kepada mereka oleh kerajaan Negeri adalah antara RM7 hingga RM12 sekaki persegi.
Menurutnya, nilai itu terlalu rendah berbanding yang ditalsirkan beberapa penilai swasta dilantik penduduk sendiri, iaitu sekitar RM20 hingga RM30 setiap kaki persegi.
“Berikutan itu, kami telah menghantar memorandum kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerusi setiausaha sulitnya pada 25 November lalu dan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek, Datuk Abdul Ghaafar Atan sehari berselang.
“Tetapi malangnya, sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklum balas mahupun cadangan bagi membincangkan hal ini,” katanya pada sidang media di rumah seorang penduduk di sini, semalam.
Abu Samah berkata, pihaknya tiada pilihan lain setelah jalan perundingan yang diatur tidak dilayan pihak terbabit dan terpaksa memanggil media bagi menyuarakan rasa tidak puas hati penduduk.
“Jawatankuasa Bertindak yang kami bentuk ini pada 1 Ogos tahun lalu, adalah cadangan wakil rakyat sendiri yang berasakan ia perlu diwujudkan bagi melakukan sebarang rundingan sekiranya terdapat perkara yang tidak memuaskan hati.
“Kami kesal dengan situasi yang berlaku sedangkan dalam sebarang urusan rasmi kerajaan, jawapan harus diberikan dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan memorandum itu, penduduk mahukan tanah yang terlibat dinilai dari RM25 hingga RM40 sekaki persegi.
“Ia berdasarkan konsep pengambilan tanah itu bagi tujuan pembangunan Pekan Pulau Sebang dan berdasarkan perjanjian yang sudah dipersetujui, iaitu situasi menang dan menang.
“Ia amat berbeza daripada konsep pengambilan tanah untuk pembinaan sekolah ataupun jalan raya yang taksiran nilai tanahnya lebih rendah,” katanya.
Menurut Abu Samah, paling tidak memuaskan hati penduduk apabila laporan penilaian yang dibuat menerusi Pejabat Daerah Alor Gajah tidak terperinci dan dibuat secara harga borong.
“Ia berbeza dengan laporan perunding swasta yang kami lantik, yang lebih lengkap dan terperinci serta mudah difahami. Kami menyokong impian kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri maju tetapi setidak-tidaknya pampasan yang diberikan kepada kami biarlah setimpal dan munasabah.
“Bayangkan, semua tanah dan rumah di sini adalah tinggalan pusaka yang sudah dihuni sejak turun-temurun. Kerajaan sepatutnya memandang serius perkara ini dengan memikirkan pampasan yang sepatutnya,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6379586.asp
************************
Berita Harian 18 Julai 2009
REMBAU: "Kami hanya mahu ganti rugi yang setimpal berdasarkan nilai harta sebenar. Jangan aniaya kami hanya kerana kami orang kampung," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tanah Adat Rembau, Chik Tak Datuk Amat.
"Bayaran RM1.20 hingga RM2.80 kaki persegi yang dibayar atas pengambilan tanah kami belum cukup untuk mendirikan rumah baru. Jadi, kami berharap penilaian semula tanah dapat dibuat bagi memberi keadilan kepada orang kampung," dakwanya.
Cerita sepenuhnya nasib tanah orang Melayu Negeri Sembilan di pautan berikut http://pasns.blogspot.com/2009/09/pengambilan-tanah-orang-melayu-di.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan